Dari segi penyertaan pelumba Formula Satu (F1) dari benua Asia, Jepun dianggap pendahulu dalam kategori berkenaan.
Antara pelumba Jepun yang pernah beraksi dalam sukan berkenaan ialah Kamui Kobayashi (Sauber), Satoru Nakajima (Team Lotus) dan Kazuki Nakajima (Williams). Kini, giliran Yuki Tsunoda pula yang mahu mengikut jejak langkah pelumba-pelumba ini.
Tsunoda bakal membuat pemanduan ujian jentera F1 milik pasukan Alpha Tauri di Imola, San Marino pada bulan hadapan.
Dia dicanang bakal mengambil salah satu tempat duduk pemandu pasukan berkenaan pada tahun hadapan.
Ketika ini, Alpha Tauri menampilkan pemandu Rusia Daniil Kvyat dan pelumba Perancis Pierre Gasly untuk saingan perlumbaan F1 musim ini.
Tsunoda berharap dapat melengkapkan jarak pemanduan ujian sejauh 300 kilometer bagi melayakkannya beraksi untuk pusingan ujian perlumbaan yang selalu dilangsungkan pada hari Jumaat.
Dia berkata, “Keutamaan saya ialah memandu 300 kilometer. Saya tidak mahu berlanggar atau terbabas dari litar kerana lebih banyak jarak saya liputi, saya lebih memahami kereta supaya mudah untuk dikendalikan.
“Tapi saya percaya saya boleh melakukannya dan saya akan memandu mengikut kebiasaan. Saya fokus kepada tugas saya sambil dapat menikmati hari pertama dalam jentera F1. Saya pasti saya akan lebih teruja bila duduk dalam kereta menunggu lampu bertukar hijau di akhir lorong pit.”
Tsunoda yang beraksi dalam saingan F2 perlu menamatkan kedudukan dalam kedudukan empat teratas sekiranya mahu memperoleh lesen super, lesen yang diperlukan sekiranya mahu bergelar pelumba F1.
Ketika ini, dia berada di kedudukan ketiga dengan dua kemenangan dan tiga kali menduduki tempat pertama saingan kelayakan F2.
Pendahulu F2 ketika ini ialah Mick Schumacher, anak kepada juara dunia tujuh kali Michael Schumacher.
Schumacher juga sedang diintai beberapa pasukan F1 tetapi ramai menjangkakan pelumba kelahiran Jerman itu menyertai Alfa Romeo musim hadapan.
Alpha Tauri dalam satu kenyataan memberitahu, rancangan mereka untuk Tsunoda ialah mengharungi sesi ujian pelumba muda selepas perlumbaan terakhir musim di Abu Dhabi pada Disember.
Dia boleh menyertai ujian dengan syarat sudah memperoleh lesen super yang dinyatakan.
Pengurus besar Honda Motorsports, Masashi Yamamoto menganggap keputusan Honda menarik diri daripada saingan F1 musim 2021 dijangka tidak akan mempengaruhi keputusan sama ada Tsunoda mendapat tempat sebagai pemandu F1 atau tidak.
Beliau berkata, “Red Bull (pemilik Alpha Tauri) tidak akan membiarkan sesiapa memandu jentera mereka. Saya fikir mereka akan menelitinya sebagai pemandu junior dan ia bergantung kepada keputusan pencapaian F2 juga. Tetapi kami suka untuk menyokongnya dengan setiap keupayaan kami.”
Sekiranya Tsunoda terpilih sebagai pengganti Kvyat atau Gasly, maka dia menjadi pelumba F1 Jepun pertama sejak kemunculan terakhir Kobayashi bersama Caterham pada 2014.
Oleh: Moustapha Abbas
Sumber
AFP. (2020). Japan’s Tsunoda to have first Formula 1 test next month. Free Malaysia Today. Dipetik daripada https://www.freemalaysiatoday.com/category/sports/2020/10/15/japans-tsunoda-to-have-first-formula-1-test-next-month/
Benson, Andrew. (2020). Alpha Tauri: Yuki Tsunoda to have first Formula 1 test. BBC Sport. Dipetik daripada https://www.bbc.com/sport/formula1/54535479