Sebentar tadi kita telah menyaksikan kelab terhebat Liga Super Malaysia diaibkan oleh kelab pertengahan J League dengan jaringan 5 berbalas telur.
JDT yang sebelum ini cemerlang dalam peringkat kumpulan gagal mempamerkan potensi yang sama ketika beraksi menentang Urawa Red Diamond.
Bermula dengan penukaran ketua jurulatih ketika sedang beraksi sangat baik, JDT tampak seperti memperjudikan nasib sendiri. Tetapi sepanjang saingan liga, situasi itu tetap tidak memberi masalah kepada JDT apabila dapat mengalahkan pasukan lain dengan begitu mudah.
Berbekalkan keyakinan tersebut, JDT berhasrat untuk mengekalkan konsistensi di peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia.
Walau bagaimanapun, sebaliknya pula yang terjadi. Tindakan JDT yang bermula dengan dua orang pemain yang jarang diturunkan ketika saingan liga mengundah padah.
Urawa Red Diamonds mudah merobek gawang JDT sebanyak tiga kali pada separuh masa pertama. Pertukaran pemain pada separuh masa kedua memberikan sedikit kestabilan kepada JDT. Tapi macam biasa JDT tiada jawapan kepada taktikal Urawa Red Diamonds.
Pengakhiran JDT tewas mudah 5-0 lantas mengakibatkan penyerang terbilang Malaysia iaitu Guilherme De Paula gagal menunjukkan magisnya di JDT.
Kekalahan JDT ini bukanlah penamat kerana kita semua perlu bersikap realistik. Kemampuan JDT menembusi peringkat 16 terbaik dengan mengalahkan kelab Ulsan Hyundai di peringkat kumpulan sebenarnya sudah cukup baik.
Dengan liga bertaraf gred d dan pasukan yang tidak konsisten, JDT membuktikan kelab dari Malaysia boleh bersaing di Asia biarpun kena bantai. Ini boleh menjadi satu penanda aras terbaru kepada kelab-kelab di Malaysia untuk mencapai tahap tertinggi. Jadi kepada pasukan-pasukan lain, anda perlu mengikut apa yang JDT buat mula hari ini.
Hal ini demikian kerana dalam saingan ACL 2024-2025, Liga Malaysia akan memperolehi 2 slot automatik dan 2 slot kelayakan ke ACL. Bermakna juara Liga Super dan Piala FA akan terus menuju ke ACL. Manakala nombor 2 dan 3 Liga Super akan beraksi di peringkat kelayakan.
Jika pasukan lain dalam Liga Malaysia tidak bersedia, tunggu sahajalah masanya nanti akan dibantai selumat-lumatnya. Kita pastinya tidak sanggup melihat Selangor FC dibantai oleh Yokohama F. Marinos dan Kedah DA dibantai oleh Cerezo Osaka dengan jaringan melebihi 5-0.
Apa-apapun tahniah kepada JDT kerana berjaya sampai ke peringkat 16 terbaik dan menjadi lauk asam pedas daging tetel untuk dinikmati oleh Urawa Red Diamonds.