Tujuh Pelumba TSG Galas Cabaran Di Tour Of Oman

KUALA TERENGGANU, 10 Feb (Bernama) — Pasukan berbasikal nombor satu Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) mempertaruhkan tujuh pelumba bagi membawa cabaran di Tour of Oman yang berlangsung selama lima hari mulai esok.

Tujuh pelumba itu termasuk Harrif Saleh; Irwandie Lakasek; Nur Amirull Fakhruddin Mazuki; Jambaljamts Sainbayar; Jeroen Meijers; Jesse Ewart  dan kapten pasukan Youcef Reguigui.

Advertisement

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Nasiruddin Wan Idrus berkata penyertaan TSG di Tour of Oman adalah untuk julung kalinya dan ia merupakan suatu pengiktirafan kepada pasukan.

“Ini adalah perlumbaan pertama kita bagi jelajah bertaraf siri pro musim ini. Ini adalah suatu pencapaian yang membanggakan untuk pasukan meneruskan kecemerlangan pada masa hadapan,” kata beliau ketika dihubungi Bernama.

Wan Nasiruddin berkata TSG tidak meletakkan sasaran tinggi bagi Tour of Oman memandangkan saingan sengit daripada pasukan bertaraf dunia seperti UAE Team Emirates, Arkea-Samsic dan Astana Qazaqstan.

Menurut beliau TSG akan dicabar 119 pelumba daripada 17 pasukan di lima peringkat perlumbaan sejauh 830.3 kilometer secara keseluruhan.

“Sasaran 20 pelumba terbaik  keseluruhan adalah lebih realistik memandangkan saingan sengit daripada pasukan gergasi dan juga penyertaan TSG untuk kali pertama,” katanya.

Nasiruddin berkata selepas Tour of Oman, TSG akan memfokus kepada persediaan latihan bagi menghadapi Tour of Rwanda, jelajah terakhir bulan ini yang akan berlangsung pada 20 hingga 27 Feb,” Katanya.

BERNAMA

Comments