Tingkat pembabitan wanita dalam persatuan sukan-MOM

Kerajaan sekarang pun sudah percaya pada kaum wanita

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggalakkan persatuan sukan kebangsaan mengambil kira penyertaan golongan wanita dalam struktur pentadbiran persatuan.

Naib presidennya, Datuk Mumtaz Jaafar berkata, persatuan diminta mempertimbangkan sekurang-kurangnya seorang wakil wanita diberi peranan dalam persatuan tanpa mengira jawatan yang disandang.

“Kita bukan hendak lawan kaum lelaki. Niat saya hanya hendak bantu dan matlamat saya mahukan kesaksamaan gender dalam persatuan sukan.

“Kerajaan sekarang pun sudah percaya pada kaum wanita,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Seminar Wanita dan Sukan MOM di sini semalam.

Mumtaz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Wanita MOM berkata faktor bukan atlet tidak boleh menjadi penghalang kepada individu yang ingin menyumbang bakti dalam persatuan sukan.

Katanya, cukup jika seseorang itu mempunyai minat untuk memajukan persatuan serta sukan negara.

“Prestasi kerja yang bagus dapat mengubah persepsi terhadap wanita. Lepas kita sudah lantik, kenalah buat kerja tidak kira dengan siapa pun kita bekerja.

“Saya harap seminar ini dapat memberi keyakinan kepada kaum wanita untuk berada dalam persatuan dan maju ke depan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr Waitchalla R R Suppiah yang merasmikan seminar itu berkata, pembabitan wanita masih kurang sebagai pembuat keputusan dan sebagai pemimpin dalam organisasi sukan.

Waitchalla mencadangkan supaya MOM membangunkan pangkalan data wanita untuk membantu organisasi sukan yang mencari wanita untuk mengisi kedudukan kepimpinan.

Buat masa ini, KBS sedang dalam usaha membangunkan inisiatif baharu untuk wanita dalam sukan, katanya.

Comments