The Kevin Serve: Servis Yang Menggerunkan Ramai Pemain

Apabila bercakap tentang badminton, pasti ramai yang lebih gemarkan pukulan kencang ataupun smash. Malah ada yang beranggapan bahawasanya pemain yang mampu melakukan smash begitu kuat adalah terhebat.

Namun ramai yang lalai sebenarnya kerana selain smash, para pemain badminton juga boleh menggunakan serve ataupun servis untuk mendapatkan mata.

Advertisement

Tapi macam mustahil sebab tak kan pemain profesional boleh membuat kesilapan ketika mengangkat dan menyambut serve bulu tangkis.

Jawapan ya memang ada pemain yang gagal mengangkat kembali serve bulu tangkis sehingga menyebabkan pihak lawan mendapat mata percuma.

Dalam dunia badminton, pukulan sebegitu dipanggil sebagai tumbling serve. Secara asasnya teknik ini berfungsi apabila pemain memukul bulu tangkis dengan tidak melebihi 115 cm.

Cabaranya adalah pihak lawan miliki kesukaran untuk mengembalikan semula pukulan tersebut kerana bulu tangkis bergerak secara berpusing.

Jika dapat menyambut pukulan itu sekalipun, bulu tangkis akan tersangkut di jaring ataupun terus terkeluar daripada permainan. Tumbling serve inilah yang menjadi asas kepada “The Kevin Serve”.

Walau bagaimanapun, The Kevin Serve ini bukanlah milik mutlak pemain dari Indonesia iaitu Kevin Sanjaya. Hal ini demikian kerana tumbling serve telah digunapakai lebih awal oleh pemain badminton dari Korea Selatan iaitu  Lee Young Dae.

Selepas itu barulah Kevin Sanjaya mengambil teknik Lee Young Dae untuk menyempurnakannya kepada mahakarya sehingga menjadi The Kevin Serve.

Apa-apapun, serve ini sememangnya menjadi igauan ngeri kepada pihak lawan kerana mereka akan kalah mudah hanya kerana ketidakmampuan mengangkat kembali bulu tangkis.

Kalau anda semua perasan, kelihatan The Kevin Serve agak mirip dengan Servis Sidek yang pernah diharamkan suatu ketika dahulu.

Bezanya adalah Servis Sidek memerlukan pemain memukul bulu tangkis secara terbalik. Hal itu menyebabkan bulu tangkis akan berputar sehingga menyebabkan pihak lawan melakukan kesilapan.

Seperti Servis Sidek, begitu ramai pemain yang merungut mengenai kesukaran mengangkatkan kembali bulu tangkis. The Kevin Serve juga sama tetapi agak bernasib baik kerana masih lagi dianggap sah.

Biarpun pencipta The Kevin Serve iaitu Kevin Sanjaya berjaya mengayam-ayam pemain lain dengan beraksi di jaring sahaja, mereka akhirnya menemui lawan yang sebenar. Mereka telah tewas kepada beregu dari Malaysia iaitu Aaron Chia-Sow Wooi Yik dalam peringkat suku akhir Sukan Olimpik.

Akhirnya beregu yang sebelum ini tersenyum sinis kerana mampu memperdaya lawan kini menghempas raket kerana taktiknya gagal.

Comments