Thailand: Maharaja Bola Sepak Asia Tenggara

Dengan kemenangan secara agregat 6-4 ke atas Indonesia malam tadi sudah cukup menunjukkan bahawasanya Thailand merupakan maharaja bola sepak Asia Tenggara.

6 trofi Piala AFF Suzuki jelas menggambarkan betapa Thailand berada di kelas tersendiri berbanding negara Asia Tenggara yang lain.

Advertisement

Persoalannya, adakah dengan 6 Piala AFF Suzuki tersebut sudah cukup menjadikan Thailand sebagai pasukan terpower di Asia Tenggara?

Kita bermula dengan saingan di Piala Asia terlebih dahulu. Mengikut rekod, Thailand telah layak ke Piala Asia sebanyak 7 kali. Pencapaian terbaik Thailand dalam saingan tersebut adalah mendapat tempat ketiga dalam edisi 1972.

Kita bandingkan pula rekod Thailand dengan Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Myanmar.

Malaysia layak ke Piala Asia sebanyak 3 kali tetapi tidak berupaya melepasi peringkat kumpulan walaupun milik barisan permain terbaik.

Vietnam layak ke Piala Asia sebanyak 2 kali dengan pencapaian terbaik adalah memasuki peringkat suku akhir.

Indonesia memiliki rekod yang sama dengan Malaysia tetapi berkelebihan satu edisi. Bagi Myanmar pula, mereka hanya layak ke Piala Asia pada edisi 1968 dengan muncul sebagai naib juara.

Mungkin dari segi pencapaian, Myanmar lebih tinggi tapi dari aspek penyertaian, jelaslah Thailand lebih power daripada keempat negara-negara tadi.

Dalam Sukan Asia bagi acara bola sepak, Thailand telah layak dalam 15 edisi tetapi hanya mampu mencapai tempat keempat sahaja. Pasukan Asia Tenggara lain lebih baik berbanding Thailand kerana pernah mendapat pingat emas dan gangsa di Sukan Asia.

Bagi saingan Sukan SEA pula Thailand cemerlang dengan rekod 16 pingat emas dalam acara bola sepak. Hal ini sekaligus meninggalkan negara-negara lain ke lembah kehinaan.

Bukan setakat itu, di peringkat kelab juga Thailand menunjukkan taring dengan sebanyak 11 kelab telah layak beraksi di Asian Champions League (ACL). Peringkat tertinggi yang pernah digapai oleh kelab Thailand di ACL adalah suku akhir melalui Buriram United pada tahun 2013.

Oleh sebab itu tidak pelik jika Thailand memiliki pemain yang cukup berbakat keran sudah terbiasa bertembung dengan pemain berprestasi tinggi di ACL.

Thailand juga turut mengeksport pemain-pemain mereka ke liga luar negara. Antaranya adalah Channarong Promsrikaew di Segunda Divison RFEF dan Chanatip Songkrasin di J1 League.

Walau bagaimanapun Thailand tidaklah selamanya di atas kerana bermula tahun 2019, skuad bola sepak negara itu dilanda kesuraman maksimal.

Pelantikkan Akira Nishino yang pernah membawa Jepun mara ke peringkat 16 terbaik pada Piala Dunia edisi 2018 menjadi sandaran terbaik untuk beliau membantu Thailand.

Namun lain pula yang terjadi kerana Thailand telah diperkotak-katikkan oleh Malaysia sebanyak 2 kali dan hanya mampu menang sekali menentang UAE serta Indonesia.

Kemenangan malam tadi lantas memadamkan kesuraman sebelum ini dan melayakkan Thailand menjadi maharaja bola sepak Asia Tenggara dengan rekod yang mengkagumkan.

Selain itu, Thailand turut mengamalkan sikap zuhud yang sangat luar biasa dengan membantu Indonesia menjadi naib juara sebanyak 4 kali. Senang cerita ketika menang pun mereka banyak bantu pasukan yang dalam kesedihan.

Apa-apapun tahniah kepada Thailand kerana menjadi juara Piala AFF Suzuki buat kali keenam.

Comments