Bagi peminat tenis, sudah menjadi kebiasaan untuk mereka mengikuti Tenis Terbuka Australia yang diadakan pada bulan Januari setiap tahun.

Namun berikutan langkah Australia menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan mereka demi mengekang penularan pandemik Covid-19, kejohanan tersebut dijangka akan ditangguhkan selama dua minggu seperti didedahkan Menteri Sukan Victoria, Martin Pakula.

Advertisement

Ketika ini, rundingan kompleks sedang berjalan antara pihak penganjur dengan kerajaan negeri tetapi Pakula percaya mereka masih boleh menganjurkan kejohanan itu pada awal tahun 2021.

Mengikut rancangan ketua jawatankuasa Terbuka Australia, Craig Tiley, pemain-pemain yang terlibat tiba di Australia pada pertengahan Disember dan menjalani kuarantin wajib 14 hari sebelum menyertai kejohanan-kejohanan pemanas badan tradisional.

Bagaimanapun, rancangan tersebut kini dalam bahaya berikutan kenyataan Perdana Menteri Victoria, Dan Andrews yang mahu membenarkan pemain-pemain tiba seawal bulan Januari tahun hadapan.

Dengan pengumuman tersebut, amat sukar bagi penganjur kejohanan ATP atau mana-mana kejohanan pemanas badan menganjurkan kejohanan mereka sebelum Terbuka Australia.

Selain isu tarikh kejohanan, satu lagi isu membabitkan latihan dan pertandingan semasa dalam kuarantin.

Hal ini demikian kerana wujud kebimbangan dalam kalangan pemain bahawa sekiranya mereka tidak memanaskan badan sebelum sesebuah kejohanan, ia mengundang risiko isu kecergasan termasuk masalah kecederaan kepada pemain.

Sementara itu, bintang tenis Britain Sir Andy Murray mahukan pemain-pemain tenis diberi vaksinasi Covid-19 agar mereka dapat beraksi di gelanggang dengan selamat.

Tambahnya, “Saya berharap semua pemain dapat mengambil vaksin demi kebaikan sukan ini – dengan syarat vaksin disahkan selamat, telah melepasi semua fasa termasuk ujian klinikal dan tiada kesan sampingan yang signifikan.”

Kenyataan ini dikeluarkan susulan kenyataan Novak Djokovic tidak lama dahulu yang menolak sebarang vaksinasi Covid-19.

Namun selepas mendapat kritikan ramai pihak dengan beliau sendiri dijangkiti Covid-19 selepas menganjurkan kejohanan pemanas badan Jelajah Adria, beliau menegaskan tidak menolak vaksin semasa ditemubual sempena kejohanan Cincinnati Masters pada Ogos lepas.

Manakala pemain tenis Sepanyol Rafael Nadal pula menyifatkan apa yang berlaku sebagai sesuatu yang tidak pernah terjadi dan meminta semua pemain tenis agar bersabar dengan ujian ini.

Tambahnya, “Ia amat sukar untuk semua orang. Kita perlu bersikap fleksibel dan memahami situasi ini serta mencari jalan bermain seberapa banyak kejohanan pada tahun hadapan.”

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

AFP. (2020). Australian Open ‘likely’ to be delayed by 2 weeks. Free Malaysia Today. Dipetik daripada https://www.freemalaysiatoday.com/…/australian-open…/

Comments