Teerasil Dangda: Penyerang Paling Konsisten Di Asia Tenggara

Apabila bercakap tentang penyerang paling hebat di Asia Tenggara pada era moden ini, pasti nama Bambang Pamungkas dan Safee Sali bakal disebut-sebut.

Hal ini demikian kerana mereka menjadi tunjang utama pasukan negara masing-masing ketika sedang dalam peak.

Advertisement

Namun selepas beberapa detik, mereka terus merudum dan digantikan oleh penyerang lain. Berbeza pula dengan seorang pemain ini, tetap menjadi pilihan utama skuad kebangsaan Thailand walaupun mereka memiliki beberapa penyerang hebat yang lain seperti Suphanat Mueanta, Suphacai Jaided dan Adisak Kraisorn.

Pemain itu adalah Teerasil Dangda yang ketika ini menjadi sandaran utama Thailand untuk menjulang Piala AFF Suzuki buat kali keenam.

Teerasil Dangda memulakan karier bola sepak pertamanya bersama Royal Thai Air Force sebelum beraksi bersama Raj Pracha. Aksi cemerlangnya bersama dua kelab tersebut telah membuatkan gergasi Thailand iaitu Muangthong United tanpa segan silu mentandatangani beliau.

Dalam masa setahun sahaja, Teerasil berjaya memikat pengurusan Manchester City untuk mengambilnya beraksi di EPL. Walau bagaimanapun, Teerasil gagal mendapatkan tempat di Manchester City lantas terpaksa dipinjamkan ke Grasshopper II yang beraksi di divisyen 3 Switzerland.

Teerasil hanya sempat bermain dalam 6 perlawanan sahaja tanpa sebarang jaringan dan kembali semula ke Raj Pracha secara pinjaman di Liga Thailand. Selepas tamat tempoh pinjaman, Teerasil telah berpindah secara tetap ke Muangthong United.

Setelah 5 tahun bersama Muangthong, Teerasil sekali lagi kembali ke Eropah dengan beraksi bersama kelab Almeria yang beraksi di La Liga. Di Almeria, Teerasil hanya beraksi dalam 6 perlawanan La Liga, 4 perlawanan Copa del Rey dan menjaringkan 1 gol sahaja.

Tamat musim pertamanya di La Liga, Teerasil tidak mampu untuk kekal dan kembali semula ke Muangthong United untuk beraksi sehingga tahun 2017.

Tahun berikutnya, Teerasil berjaya beraksi di J League bersama pasukan Sanfrecce Hiroshima. Seperti biasa Teerasil gagal menjadi penyerang yang digeruni berikut kemampuannya untuk menjaringkan gol sangat terbatas. Dalam 37 perlawanan bersama Sanfrecce Hiroshima, sejumlah 7 jaringan dapat direkodkan oleh beliau.

Sekali lagi, Teerasil kembali ke Muangthong sebelum dibeli secara tetap oleh Shimizu S-Pulse. Peluang kedua yang diberikan untuk beraksi di J League disia-siakan oleh Teerasil dengan gagal memberikan impak seperti diharapkan.

Kelesuan aksi Teerasil di Jepun berjaya ditebus dengan kehadirannya di BG Pathum United pada pertengahan musim telah membantu pasukan itu menjadi juara liga. Buat musim 2021, Teerasil masih kekal dengan kelab yang sama.

Dalam aksi bersama Thailand, Teerasil telah mencipta 45 jaringan di dalam 104 perlawanan. Bukan setakat itu sahaja, Teerasil pernah diangkat sebagai penjaring terbanyak dalam 3 edisi Piala AFF Suzuki.

Pencapaian ini sangat sukar untuk dicapai oleh mana-mana penyerang Asia Tenggara yang lain. Teerasil juga mampu mencipta nama buat kali keempat sebagai penjaring terbanyak tapi perlu menyumbat gol untuk tidak mahu berkongsi anugerah itu.

Kepada Indonesia, nantikan amukan Teerasil Dangda.

#iSportsAsia

Comments