Suatu Ketika: Menjejak Semangat Perpaduan Malaysia Melalui Bola Sepak 50-an

Bagi pengarah, penerbit dan penulis skrip filem Suatu Ketika; Prakash Murugiah, apabila peluang untuk menerbitkan filem pertamanya itu tiba, hanya ada satu subjek yang berada dalam fikirannya: bola sepak.

Bola sepak, menurutnya, merupakan alat penyatuan dan perpaduan paling efektif di Malaysia.

“Seperti yang kita tahu, bola sepak adalah sukan nombor satu di negara kita. Apabila pasukan kebangsaan kita keluar menentang mana-mana pasukan, semua orang akan bersatu hati menyokong Malaysia. Tambahan pula saya sendiri gilakan bola sepak,” kata Prakash.

Suatu Ketika merupakan filem yang memaparkan tema klasik; David vs Goliath. Berlatar belakangkan tahun 1952, ia mengisahkan tentang kesatuan hati sekumpulan kanak-kanak sebuah sekolah di Tanah Melayu, Sekolah Ujong Pasir yang perlu menentang pasukan sekolat elit British, St. James dalam kejohanan JG Davidson Cup.

Dibarisi oleh pelakon terbaik Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30), Namron dan Pekin Ibrahim, Suatu Ketika akan mula ditayangkan di pawagam bermula 12 September nanti.

Menurut Prakash, proses menghasilkan filem pertamanya itu dipermudahkan dengan kehadiran dua pelakon tersebut. “Latar belakang Namron dalam bidang teater dan pengalamannya menjadi pengarah banyak membantu saya dalam proses menghasilkan filem ini.”

“Pekin pula saya dah serasi memandangkan kami dah lama bekerja bersama sejak 2007. Saya juga sebenarnya sudah berfikir untuk melibatkan Pekin ketika mula-mula menulis Suatu Ketika,” jelas Prakash lagi.

Proses menulis Suatu Ketika bermula pada tahun 2011. Walaupun plot filem ini adalah fiksyen, aspek lain-lainya digarap berdasarkan pengalaman sebenar subjek-subjek temuramah Prakash yang hidup pada era 1950-an. Malah untuk mendapatkan ketelitian dan ketepatan yang tinggi dalam filem ini, Prakash turut merujuk kepada tokoh sejarawan negara, mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

“Prof Khoo Kay Kim bertindak sebagai konsultan filem Suatu Ketika sejak dari mula. Saya banyak kali berjumpa dengan beliau selama beberapa tahun untuk memberikan kami gambaran tepat mengenai bahasa, budaya dan gaya hidup pada zaman pra-kemerdekaan,” jelas Prakash lagi.

Naratif ‘kita lawan British’ pula dipilih Prakash kerana ia adalah satu-satunya sebab bagi rakyat berbilang bangsa di Tanah Melayu yang dijajah British pada ketika itu untuk bersatu.

“Kalau kita tengok masa Tunku Abdul Rahman hendak mula berunding untuk mendapat kemerdekaan dari British pun, beliau pergi berjumpa dulu dengan VT Sambanthan dan Tan Cheng Lock,” kata Prakash.

“Di tambah pula dengan persepsi orang-orang kita yang sampai sekarang memuja semua benda yang orang putih buat. Saya bukannya nak merendahkan mereka, tetapi Suatu Ketika adalah kisah bagaimana kita boleh berdiri sama tinggi dengan mereka jika kita semua bersatu.”

Kekuatan naratif Suatu Ketika jugalah yang menarik minat penyanyi Datuk Zainal Abidin untuk menghasilkan runut bunyi rasmi khas untuk filem ini sahaja. “Mula-mula kami datang kepada beliau untuk dapatkan kebenaran menggunakan lagu Pantun beliau dalam Suatu Ketika,” cerita Prakash.

“Tapi lepas beliau menonton, hati beliau sangat tersentuh sebab beliau nampak dirinya dalam salah satu watak kanak-kanak dalam Suatu Ketika. Lepas itu, beliau terus menawarkan diri untuk menulis lagu baru untuk filem ini,” terang Prakash mengenai asal-usul penglibatan penyanyi lagu Hijau itu.

Apa yang membuatkan penglibatan Datuk Zainal Abidin dalam Suatu Ketika lebih signifikan adalah, runut bunyi tersebut merupakan lagu pertama yang ditulis dan dinyanyikan oleh beliau dalam masa 11 tahun.

Bagi Prakash, penting bagi rakyat Malaysia untuk melihat Suatu Ketika bukan sebagai filem bola sepak – sebaliknya sebagai filem perpaduan. “Suatu Ketika bukannya fasal bola sepak. Ianya fasal bagaimana kita boleh mencapai apa-apa sahaja objektif dan impian kita dengan bersatu-padu. Bola sepak hanya bertindak sebagai medium.”

Suatu Ketika akan mula ditayangkan di semua pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) bermula pada 12 September.

Comments