Liga-liga bola sepak utama Eropah sudah bermula dan seperti biasa, ada yang sudah merungut dengan prestasi pasukan masing-masing.

Justeru, ramai melihat Januari sebagai peluang untuk menambahbaik kualiti pasukan dan menambah wang dalam kantung kewangan kelab menerusi penjualan pemain.

Advertisement

Namun bagi kelab seperti Barcelona, agak sukar untuk mereka berbuat demikian.

Kredit: Atoz Markets

Semua sedia maklum, baru-baru ini presiden kelab Josep Maria Bartomeu bersama ahli-ahli lembaga pengarah meletak jawatan selepas berdepan tekanan ramai pihak untuk berbuat demikian.

Kini, satu jawatankuasa pengurusan sementara kelab dibentuk dengan Carles Tusquets menjadi pemangku presiden sebelum satu pilihan raya presiden diadakan untuk memilih presiden kelab yang baru.

Berikutan kedudukan mereka sebagai ahli jawatankuasa pengurusan sementara, Tusquets dan pasukan pengurusan tiada ruang dalam membantu memperkuatkan pasukan.

Hal ini demikian kerana statut kelab dengan jelas menyatakan sebarang keputusan jawatankuasa sementara hendaklah berdasarkan sebab yang kukuh dan mengekalkan operasi kelab dalam keadaan normal.

Paling penting, sebarang pembelian yang dibuat mereka mestilah mendapat kelulusan presiden baru yang dipilih.

Jika pembelian tersebut tidak diluluskan, ia sudah pasti menjejaskan urusan perpindahan yang dibuat dan hubungan baik sesama kelab.

Perkara ini pernah berlaku semasa kelab ditadbir oleh pemangku presiden Javier Faus pada tahun 2015.

Pada ketika itu, Barca dibimbing oleh Luis Enrique dan salah satu pemain yang dimahukan jawatankuasa pengurusan sementara untuk mengukuhkan pasukan ialah pemain sayap Turki, Arda Turan.

Bagi membolehkan perpindahan tersebut diluluskan, pertama, Faus harus mendapatkan kelulusan daripada Enrique dan suruhanjaya sukan kelab.

Selepas ia diluluskan, jawatankuasa harus menyediakan satu dokumen yang dipersetujui kelab penjual bahawa mereka akan memulangkan kembali pemain dengan nilai jualan perpindahan semula yang berpatutan.

Perpindahan ini berlaku tatkala kelab berdepan proses pemilihan presiden dan sekatan perpindahan FIFA pada tahun berkenaan.

Dalam kes Turan, selepas mendapat persetujuan semua pihak terlibat, kelab menghantar satu dokumen di mana Turan akan dipulangkan semula kepada Los Rojiblancos menerusi yuran perpindahan sebanyak €3.5 juta (RM17.06 juta).

Faus bernasib baik kerana perpindahan tersebut diteruskan oleh Bartomeu selepas dipilih sebagai presiden kelab ketika itu.

Turan bagaimanapun terpaksa menunggu selama enam bulan sebelum didaftarkan sebagai pemain dan membuat kemunculan bersama Blaugrana pada pertengahan musim 2015-2016.

Dalam kes Tusquets pula, beliau faham pengurus Barca ketika ini Ronald Koeman mahu menambahbaik kualiti pasukan dengan membawa masuk bek tengah Manchester City, Eric Garcia dan pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum.

Begitupun, Blaugrana harus menjual pemain terlebih dahulu bagi membantu menstabilkan kedudukan kewangan kelab yang terjejas akibat Covid-19.

Selain itu, Tusquets juga berdepan risiko tindakan saman daripada presiden baru Barca sekiranya meneruskan usaha dua pembelian itu.

Satu solusi kepada permasalahan ini ialah beliau mendapatkan tandatangan semua calon presiden untuk dokumen pembelian pemain yang dicadangkan.

Bagaimanapun, solusi ini berdepan ranjau berliku kerana setiap calon sudah pasti mahukan pemain yang berbeza untuk kelab selepas dipilih dan tidak akan bersetuju dengan pemain yang dicadangkan.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Rojo, Luis. (2020). Eric Garcia and Memphis Depay highly unlikely to sign for Barcelona in January. Marca. Dipetik daripada https://www.marca.com/…/02/5fa05f21ca47418a6a8b462e.html

Comments