Siapa sangka perlawanan UFC 254 yang berlangsung di Abu Dhabi semalam merupakan perlawanan terakhir bintang sukan seni mempertahankan diri iaitu Khabib Nurmagomedov.

Selepas berjaya mengalahkan lawannya, Justin Gaethje, beliau mengumumkan persaraannya dari sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA) ketika berada di kemuncak prestasi.

Advertisement

Bila ditanya sebab beliau membuat keputusan mengejutkan itu, Khabib berkata, “”Bila UFC memanggil saya (untuk bertarung) dengan Justin, saya telah berbincang dengan ibu selama tiga hari.

“Dia tidak mahu saya berlawan tanpa kelibat ayah saya (ayah Khabib, Allahyarham Abdulmanap Nurmagomedov kembali ke balik papan kerana komplikasi Covid-19). Tetapi saya telah berjanji dengan ibu, ini pertarungan terakhir saya. Jika saya sudah berjanji, saya mesti tunaikan. Ini pertarungan terakhir saya.”

Jadi, siapa sebenarnya Khabib Nurmagomedov? Anak jati Slidi, Dagestan ini dilahirkan pada 20 September 1988 dan mempunyai darah etnik Avar.

Anak kedua dari tiga adik-beradik itu mula dilatih bapanya sendiri dalam pelbagai disiplin seni mempertahankan diri seperti gusti, judo dan sambo sejak berusia lapan tahun lagi.

Khabib sendiri sudah menunjukkan minat ke arah berkenaan bila melihat pelajar-pelajar berlatih di gimnasium.

Selepas berpindah ke Kirovaul, Allahyarham Abdulmanap mengubahsuai tingkat bawah rumah mereka dan dijadikan sebagai gimnasium.

Di sinilah, beliau melatih mana-mana individu yang beraspirasi menjadi atlet seni mempertahankan diri termasuk Khabib.

Semasa hayatnya, Allahyarham Abdulmanap merupakan jurulatih pasukan sambo kebangsaan di Dagestan selain melatih beberapa atlet lain dalam disiplin lain di Makhachkala, Rusia.

Namun, bukanlah sesuatu yang mudah dari satu sukan ke satu sukan lain dan ini diakui sendiri beliau.

Semasa usia remajanya, Khabib berhadapan kesukaran beralih dari gusti ke judo tetapi bapanya mahu bakal jaguh UFC itu membiasakan diri memakai pakaian uniform kogi.

Selain itu, beliau juga selalu terjebak dengan pergaduhan jalanan sebelum memberi fokus kepada seni mempertahankan diri campuran (MMA).

Pertarungan pertama beliau dalam arena MMA bermula pada tahun 2008 dan dalam masa sebulan, sudah mampu menewaskan empat lawannya.

Khabib tidak lagi menoleh ke belakang dan terus mengorak langkah dalam arena sukan ini.

Dengan rekod 16 kemenangan dalam setiap perlawanan di Rusia dan Ukraine dalam tempoh tiga tahun, itu sudah cukup bagi UFC menawarkannya peluang bertanding dalam pertandingan sukan berprestij itu.

Sebagai permulaan, Khabib memeterai perjanjian sebanyak enam perlawanan dengan UFC untuk bertanding dalam divisyen UFC kategori lightweight.

Pada perlawanan pertamanya, anak jati Slidi ini berjaya mengatasi lawannya dari Iran, Kamal Shalorus pada pusingan ketiga perlawanan.

Pada tahun 2013, namanya mula meniti di bibir peminat UFC menerusi dua kemenangan besar.

Pertama, pada Mei 2013, Khabib berjaya mengalahkan Abel Trujillo dan turut mencipta rekod baru kejohanan iaitu bilangan menjatuhkan lawan paling banyak dalam satu perlawanan iaitu 21 kali daripada 27 percubaan.

Pada September tahun sama, beliau berjaya mengalahkan satu lagi nama besar UFC iaitu Pat Healy.

Selepas tamat perlawanan, Presiden UFC Dana White memuji persembahan pendatang baru dari Rusia itu dengan gaya perlawanannya mengingatkan White kepada bekas jaguh MMA, Matt Hughes.

Namun untuk beberapa tahun berikutnya, masalah kecederaan dan pembatalan beberapa perlawanan merencatkan sedikit rentak jaguh berdarah Avar itu.

Bagi Khabib, bila mengetahui lawannya membatalkan perlawanan pada saat akhir merupakan sesuatu yang mengecewakan.

Pada April 2018, barulah lelaki berdarah Avar itu berupaya mencabar gelaran juara UFC kategori lightweight.

Pada mulanya, Khabib seharusnya berhadapan dengan Tony Ferguson tetapi lawannya itu mengalami kecederaan dan terpaksa menarik diri.

UFC kemudian memilih Max Holloway tetapi Holloway disingkirkan kerana dianggap tidak cergas oleh Suruhanjaya Perlawanan Negeri New York (NYSAC).

Akhirnya, Al Iaquinta dipilih sebagai lawan untuk perlawanan merebut kejuaraan kategori tersebut.

Sepanjang perlawanan, Khabib mendominasi perlawanan dari mula hingga akhir dan menang hasil keputusan sebulat suara juri. Hal ini membolehkannya meraih gelaran kejuaraan tersebut.

Seperti dijangka, Khabib akan berlawan dalam satu pertarungan untuk mempertahankan kejuaraannya pada Ogos 2018.

Lawannya itu ialah McGregor yang dikenali dengan sikapnya yang suka memprovokasi pihak lawan dan kadangkala, provokasinya itu bersifat melampau termasuk menyerang negara atau agama pihak lawannya.

Namun Khabib memilih menjawab cabaran dan kerenah lawannya di gelanggang dan pada 6 Oktober 2018, sejarah tercipta.

McGregor tumbang dengan kemenangan menyebelahi anak jati Slidir itu dan beliau berjaya mempertahankan gelarannya itu lalu menambahkan winning-streak yang dimilikinya ke 27-0.

Walau bagaimanpun kekecohan tercetus gara-gara sikap Khabib yang dikatakan menyerang salah seorang krew McGregor dengan McGregor sendiri berlawan dengan beberapa krew Khabib.

Dalam sidang media pasca-perlawanan, beliau berkata, “Dia (McGregor) mempersoalkan agama saya. Dia mengejek negara saya. Dia menghina bapa saya.

Di sebalik rupanya yang ganas dalam gelanggang, tidak ramai tahu Khabib merupakan seorang Muslim yang berpegang teguh dengan ajaran agama.

Beliau tidak pernah menyentuh arak dan jika anda perasan, tiada sebarang tatu yang dicacah pada badannya.

Malah, Khabib juga amat berbangga dengan warisannya sendiri dengan memakai topi papakha iaitu topi tradisional etnik Avar selepas pertarungan dan semasa mempromosikan UFC.

Lelaki ini juga fasih bertutur dalam beberapa bahasa seperti Bahasa Arab, Bahasa Rusia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Turki.

Khabib sudah berkahwin sejak tahun 2013 dan mempunyai dua cahaya mata, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Perlawanan UFC 254 merupakan acara akhir kejohanan UFC yang dianjurkan di Pulau Yas, Abu Dhabi.

Khabib sepatutnya tampil pada UFC 249 menentang Tony Ferguson tetapi tidak dapat berbuat demikian berikutan sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan di Rusia akibat pandemik Covid-19.

Ianya telah menyebabkan UFC membawa masuk Gaethje sebagai lawan baru Ferguson.

Selepas bertarung selama lima pusingan, Ferguson terpaksa akur dengan kehandalan ahli MMA dari Amerika Syarikat itu.

Hal ini membawa kepada pertembungan Khabib-Gaethje bagi merebut gelaran juara lightweight UFC.

Ramai menjangkakan anak jati Safford, Arizona itu dapat menjinakkan jaguh UFC berdarah Avar itu kerana mempunyai latar belakang dalam sukan gusti.

Namun perkara sebaliknya berlaku dalam perlawanan UFC 254. Khabib mendominasi pusingan pertama dengan memberi banyak tekanan kepada

Gaethje sebelum berjaya menundukkan lawannya pada pusingan kedua. Jaguh UFC itu menyertai senarai lawan yang pernah ditumbangkan beliau seperti McGregor, Dustin Poirier, Al Iaquinta dan Edson Barboza.

Paling mengagumkan, Khabib sebenarnya berlawan dalam keadaan baru pulih dari kecederaan seperti didedahkan Presiden UFC, Dana White.

Bagi Khabib, perlawanan ini juga dianggap istimewa kerana menentang rakan yang membantunya beradaptasi dengan dunia UFC termasuk membantu menurunkan berat sebanyak beberapa paun sebelum melawan Darrell Horcher.

#iSportAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

BBC. (2018). UFC 229: Who is Conor McGregor’s opponent Khabib Nurmagomedov? Dipetik daripada https://www.bbc.com/sport/mixed-martial-arts/45745463

BBC. (2018). Khabib Nurmagomedov beats Conor McGregor: Russian ‘has to be suspended’. Dipetik daripada https://www.bbc.com/sport/mixed-martial-arts/45775969

Head, Simon. (2020). Khabib Nurmagomedov retires from UFC after beating Justin Gaethje. BBC. Dipetik daripada https://www.bbc.com/sport/mixed-martial-arts/54676605

Comments