Sebutir Berlian Untuk Promosi Filem Ocean’s Twelve Hilang Di Perlumbaan F1

Tahukah anda, sebagai sebahagian daripada promosi filem Ocean’s Twelve lakonan George Clooney dan Brad Pitt, Jaguar F1 bersetuju memasang berlian bersaiz butang bernilai £150,000 pada jentera mereka. Dua berlian dipasang pada jentera yang dipandu pemandu Austria, Christian Klien dan pemandu Australia, Mark Webber untuk perlumbaan Grand Prix Monaco 2004.

Namun malang tidak berbau. Jentera F1 yang dipandu Klien terbabas dan melanggar tembok pada pusingan pertama sekaligus mengakibatkan dia terkeluar daripada perlumbaan. Jentera tersebut kemudiannya dialihkan ke luar litar oleh krew litar dan dibiarkan di situ selama dua jam. Apabila ia dibawa kembali ke garaj Jaguar, berlian yang dipasang hilang tanpa dapat dikesan.

Advertisement

Klien menyifatkan insiden tersebut sebagai memori jentera F1 paling mahal pernah dibawanya sekitar Monte Carlo. Walaupun siasatan dilancarkan pihak berkuasa bagi mengesan berlian yang hilang itu, ramai percaya ada peminat yang mengambil kesempatan mengambil berlian itu untuk dibawa pulang. Justeru, tidak hairanlah seorang jurucakap Jaguar menyifatkan individu yang mengambil berlian tersebut sebagai bernasib baik kerana mengambil memento termahal perlumbaan itu.

#iSportsAsia

 

Comments