‘Sampai Mati Kuala Lumpur’ Dokumentari Siri Bola Sepak Terpaling Gempak Dalam Negara

Jika anda pernah lihat ‘aksi’ Bojan menghentak papan sewaktu dalam bilik persalinan dalam mana-mana platform media, ia adalah situasi sebenar dan bukan lakonan. Ia menggambarkan sebuah realiti sebenar keadaan semasa itu.

Dokumentari ini diterbitkan selepas hampir setahun melalui penggambaran perjalanan sebuah pasukan ibu kota yang dianggap kerdil jika dibandingkan dengan pasukan lain yang memiliki segala-galanya termasuk bajet kewangan, pemain ternama, dan struktur pengurusan lebih baik.

Kehadiran ‘Smart Guy’, Stanley Bernard pada 13 Disember 2020 ke KL City FC merubah segala-galanya dari segi corak dan strategi pasukan. Beliau mula membawa perubahan sedikit demi sedikit dengan bajet yang terhad bagi sebuah pasukan bola sepak.

Tayangan perdana ‘Sampai Mati Kuala Lumpur’

Dokumentari bercorak sukan biasanya kita lihat di Eropah tetapi kini kita mampu lihat sendiri bagaimana sebuah pasukan biasa mampu mencipta sejarah luar biasa dan tidak ‘dirancang’ selepas memenangi Piala Malaysia.

Dokumentari ini adalah kerjasama pihak Astro dan KL City FC. Pada awalnya kesemua pemain, jurulatih terutamanya ketua jurulatih, Bojan Hodak agak takut dan ‘tidak selesa’ andai segala strategi mereka diintip selama 11 bulan.

Advertisement

“Pada awalnya saya tidak suka dengan ‘penggambaran’ ini kerana mungkin ia akan mendedahkan strategi pasukan. Segala percakapan dan pergerakan diperhati termasuklah dalam bilik persalinan, di padang latihan. Namun saya akur apabila CEO maklumkan Astro adalah ‘penaja’ pasukan dan terpaksa benarkan. Kini baru saya tahu ia sebenarnya tidak.” sinis Bojan sewaktu ditanya.

‘Sampai Mati Kuala Lumpur’ bukan dokusiri biasa tetapi ia penuh eleman kejutan, realiti yang sukar dilihat sebelum dan selepas 90 minit perlawanan. Dokusiri ini akan disiarkan secara eksklusif kepada pelanggan Astro di saluran Astro Arena 801 kesemua 8 episod setiap Selasa dan Rabu bulan Februari 2022 bermula jam 9.00 malam.

Comments