Salford City – Pasukan EFL Yang Paling Dibenci

Pasti ada menggaru kepala kenapa pasukan ini amat dibenci ramai berbanding tiga pasukan itu termasuk pasukan bukan liga.

Musim liga bola sepak Eropah bakal bermula tidak lama lagi dan seperti biasa, peminat-peminat kelab sudah pasti ada jangkaan masing-masing. Ada yang mahu ayam jantan terus berkokok (Spurs), enggan lagi melihat bendera keluar dari meriam (Arsenal) atau bertukar pengurus sebelum separuh musim (Real Madrid). Tetapi di Liga Dua/League Two, satu kelab bakal memulakan kempen musim pertama mereka sebagai pasukan paling dibenci melebihi Liverpool, Manchester United atau Manchester City. Pasukan yang dimaksudkan ialah Salford City.

Pasti ada menggaru kepala kenapa pasukan ini amat dibenci ramai berbanding tiga pasukan itu termasuk pasukan bukan liga. Jawapannya terletak pada siapa pemilik pasukan itu iaitu legenda-legenda Manchester United dari Kelas 92. Mereka terdiri daripada Gary dan Phil Neville, Nicky Butt, Paul Scholes dan Ryan Giggs sebelum disertai oleh David Beckham pada musim lepas. Pemilik Valencia dan jutawan Singapura, Peter Lim turut mempunyai pegangan saham dalam kelab itu.

Advertisement
Pemilik bersama kelab Salford City; David Beckham, Gary Neville, Peter Lim, Nicky Butt dan Ryan Giggs

Memandangkan bilangan jutawan yang ada pegangan saham dalam Salford, tidak hairanlah ramai menganggap kelab yang berpangkalan di Greater Manchester itu membeli kejayaan segera, satu label yang selalunya mengenai City, Chelsea, Paris Saint Germain dan AS Monaco.

Tetapi bagi pengurus merangkap legenda Preston dan Burnley, Graham Alexander, label tersebut dianggap satu perkara biasa. Alexander yang bertanggungjawab membimbing Fleetwood Town mendapatkan kenaikan liga ke Liga Satu/League One pada musim 2013-2014 melihat label itu langsung tidak menghalang mereka dari terus menunjukkan prestasi terbaik untuk tatapan para peminat. Apa yang penting ialah terus melakukan yang terbaik untuk mendapatkan pulangan tiga mata.

Bagi yang mengikuti Salford City sejak sekian lama sebelum era pengurusan Kelas 92, idea bahawa semua orang membenci mereka amat asing. Ini didedahkan sendiri oleh ahli jawatankuasa kelab yang bertanggungjawab menghidangkan kudapan kepada penyokong, Barbara Gaskell. Gaskell yang memegang peranan berkenaan selama tiga dekad mendedahkan pada tahun-tahun sebelumnya, tiada siapa pun yang tahu atau ambil berat tentang Salford.

Dia berkata, “Jika anda katakan kepada pemandu teksi untuk pergi ke Moor Lane (stadium rasmi Salford), pasti dia akan memandang anda dan menganggap anda gila. Tetapi secara mengejut orang sudah tahu siapa anda. Dan kerana Kelas 92 bertanggungjawab membawa pemain bergaji besar datang ke kelab, ramai berfikir kami membeli cara untuk mara ke atas. Saya faham ramai mengatakan ini tidak sama, perubahan sebegini rupa. Tetapi saya tidak pernah membayangkan bahawa kami akan naik dan menjadi pasukan liga.”

Gaskell masih ingat semasa dia diajak menguruskan bar teh oleh suaminya yang juga penjaga kaunter tiket stadium, purata penyokong yang hadir hanya 50 orang sahaja. Menjelang musim baru Liga Dua ini, 1900 tiket bermusim sudah dijual dan kabin yang dahulunya menempatkan bar tehnya kini digantikan dengan tempat duduk yang boleh menempatkan 5,100 penyokong. Bila merenung kembali perkembangan pasukan, Gaskell menganggap ia sebagai sesuatu yang menakjubkan.

Tapi harga untuk membawa Salford naik bukan murah harganya. Salah satu pemain yang dibawa masuk ialah bekas penyerang Aberdeen, Adam Rooney. Semasa Rooney dibawa masuk, ia sudah mencetuskan kontroversi kerana kelab bukan liga Inggeris berupaya menarik pemain dari liga lebih berprestij seperti Liga Perdana Scotland/Ladbrokes Premiership dengan gaji yang lebih lumayan (Rooney dibayar gaji 4,000 paun sterling (RM20,061.40). Ini menyebabkan pemilik Accrington Stanley, Andy Holt menuduh Salford cuba membeli tempat dalam Liga Bola Sepak Inggeris (EFL).

Bila ditanya tentang isu ini, Rooney menegaskan keinginannya menyertai Salford City didorong oleh faktor cita-cita pemilik-pemilik mereka dan bukan sekadar ganjaran kewangan semata-mata.

Dalam musim yang membawa Salford menyertai bahagian bawah piramid EFL musim ini, Rooney menyumbat 21 gol untuk kelab berkenaan. Namun pada masa sama, beliau juga mengakui ramai lawan kelab berkenaan membenci mereka termasuk bergembira apabila Salford kalah. Justeru, apabila mereka berjaya layak menerusi penentuan play-off di Wembley, beliau merasa puas dapat menundukkan sebahagian kelab yang dianggap pilihan naik ke Liga Dua. Sementara bagi Alexander, satu-satunya pihak yang harus diberi perhatian ialah pemilik-pemilik kelab kerana mereka bertanggungjawab menyokong kelab terutama pemain ke arah kejayaan.

Rooney juga merasa pelik dengan sikap sesetengah pihak yang meluat dengan keinginan bekas-bekas pemain menceburkan diri dalam pemilikan kelab bola sepak terutamanya membabitkan Kelas 92.

Beliau menambah, “Melihat bekas-bekas pemain dikecam hanya kerana melaburkan wang mereka dalam pemilikan kelab bola sepak ialah sesuatu yang janggal. Secara peribadi, saya melihat apa yang dilakukan mereka sebagai bagus kerana melaburkan semula wang mereka dalam sukan bola sepak.”

Manakala bagi Gaskell, tanpa memikirkan sentimen orang luar terhadap Salford, hanya satu saja yang difikirkannya iaitu memberi penghormatan kepada pengerusi lama kelab, Harold Brearley. Menurut Gaskell, Brearley bertanggungjawab memastikan kelab terus bernafas untuk bertahun-tahun lamanya dan tetap setia menyokong kelab. Antara cadangan yang difikirkannya ialah menamakan salah satu kawasan tempat duduk penyokong sempena nama pengerusi lama kelab itu bersesuaian dengan menghormati sejarah lama kelab. Dan ini antara perkara yang akan dibincangkan dengan ketua Kelas 92, Gary Neville kerana menurut Gaskell, ia merupakan satu langkah yang baik.

SUMBER
White, Jim. (2019). ‘Wherever we go we’re the arch-enemy’;: Billionaire-backed Salford
City prepare for life in the Football League. The Telegraph.
https://www.telegraph.co.uk/football/2019/07/30/wherever-go-arch-enemy-
billionaire-backed-salford-city-prepare/

Comments