100% milikan Perak FC sudah bertukar ke XOX Berhad dari Impact Media & Communication Sdn Bhd (IMC).
Perkara itu disahkan oleh Unit Pelesenan Kelab MFL di mana XOX telah berjaya menyediakan semua dokumen seperti yang diminta oleh MFL pada atau sebelum 29 April 2022.
Kelmarin MOU telah ditandatangani kedua-dua sebagai tanda jadi (bertunang). Lagi 14 hari baru lah kedua pihak akan menjalani majlis akad nikah melalui dokumen perjanjian jual beli (sales and purchase agreement).
Dalam majlis yang berlangsung di ibupejabat XOX di Tropicana, replika cek sebanyak RM100,000 bertukar tangan sebagai simbolik dan sumbangan dari XOX kepada ahli pasukan Perak FC sebagai persiapan raya.
Ini bukanlah penglibatan pertama XOX Berhad dalam sukan. Syarikat telekomunikasi yang juga dalam senaraian awam di Bursa Malaysia ini juga pernah menaja beberapa acara bola sepak dan permotoran.
Pengurusan Perak FC atau dikenali sebagai Bos Gaurus sebelum ini diambilalih oleh IMC pada 25 November 2021 lepas dari PAFA, dan sudah pun mengalami banyak masalah kewangan. Bukan sahaja masalah tunggakan gaji sampai mata pun dipotong tapi nak sewa padang latihan sendiri pun tak mampu.
Menurut pemfailan di Bursa Malaysia, XOX Berhad melaporkan Perak FC menanggung kerugian sebanyak RM2.3 Juta di samping menanggung hutang bersih sebanyak RM3.5 Juta tahun lepas.
Dan setakat 31 Disember 2021, keseluruhan hutang tertunggak Perak FC adalah lebih kurang RM7.1 Juta yang turut akan diambilalih oleh XOX Berhad sebagai pemilik baharu.
Dengan pengambilalihan 100% dan termeterainya perjanjian itu, Perak FC muncul pasukan kelima dalam saingan Liga Malaysia yang dimiliki sepenuhnya organisasi swasta tanpa ada penglibatan atau perkongsian saham kelab daripada Kerajaan Negeri atau Persatuan Bolasepak Negeri (FA).
Untuk rekod, antara kelab yang bergerak di atas kaki sendiri adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Petaling Jaya City (PJ City), Kelantan FC dan Sri Pahang FC.
Diharapkan pasukan Perak FC lebih bersemangat dan cemerlang dengan pengurusan dan pemilik baru ini.