Apabila bercakap tentang lagenda sahaja, nama seperti Mokhtar Dahari pasti terus terlintas dibenak fikiran. Hal ini mungkin kerana beliau merupakan pemain dan penyerang terbaik ketika zamannya lantas meletakkan Malaysia pada kelas tersendiri.
Namun begitu tahukah anda, kita juga miliki lagenda hidup iaitu Safiq Rahim. Mungkin ada segelintir yang kurang bersetuju kerana sikap beliau sedikit panas baran tetapi kita tidak boleh nafikan beliau merupakan pemain terbaik Malaysia di era moden.
Safiq Rahim bermula sebagai seorang pemain professional di pasukan Selangor dan berpindah ke KL Plus apabila tidak mendapat minit permainan. Tak lama selepas itu, beliau kembali ke pasukan Selangor dan menjadi pemain penting di sana. Dalam pasukan Selangor, beliau menjadi pakar sepakan percuma serta berjaya membantu pasukan itu menjulang trofi Liga Super.
Walau bagaimanapun pada tahun 2012, beliau telah menyatakan bahawa Piala Malaysia akan jadi aksi terakhirnya bersama Selangor sebelum berpindah ke pasukan baru. Perkara tersebut menjadi kenyataan apabila beliau menyertai Johor Darul Ta’zim pada akhir tahun yang sama.
Langit tidak selalunya cerah apabila Safiq Rahim hanya memanaskan bangku simpanan dan hampir dijual ke Felda United oleh pengendali JDT pada ketika itu iaitu Fandi Ahmad. Malahan corak permainan beliau seringkali dibandingkan dengan Badri Radhi yang sedang mencapai zaman emas.
Semuanya berubah pada tahun 2014 apabila Safiq digandingkan dengan pemain handalan dunia iaitu Pablo Aimar di bahagian tengah. Walaupun kehadiran Aimar hanyalah seketika, itu sudah cukup mengubah Safiq menjadi pemain yang begitu hebat.
Ketidaan Jorge Pereyra Diaz pada 2015 telah memaksa pengendali JDT Mario Gomez meletakan Safiq di posisi no 10 iaitu dibelakang Luciano Figueroa. Segalanya tampak sempurna apabila Safiq berjaya mencipta kejayaan sebagai pemain tempatan paling banyak menjaringkan gol dalam pasukan JDT.
Kemuncaknya, JDT berjaya menjulang Piala AFC setelah menewaskan FC Istiklol ditempat awal. Selepas itu, semua telah menjadi sejarah apabila beliau berjaya menjulang 6 kali trofi Liga Super, 5 kali Piala Sumbangsih, 1 kali Piala FA dan Piala Malaysia.
Oleh itu, Safiq Rahim layak digelar sebagai lagenda kerana pencapaiannya sangat sukar untuk dipecahkan oleh pemain-pemain lain di era moden.