Sebut nama Ramon Rodriguez Verdejo, ramai pasti akan menggaru kepala tentang siapa gerangan orang ini.

Namun jika nama yang disebut ialah Monchi, peminat La Liga pasti mengetahui lelaki ini merupakan arkitek kejayaan Sevilla selama bertahun-tahun.

Advertisement

Terima kasih kepada beliau, gelaran pengarah sukan tidak lagi dipandang rendah dan menjadi sebahagian daripada struktur pengurusan sukan bola sepak moden hari ini.

Sebagai pemain, kariernya tidaklah segemilang rakan-rakan penjaga gol lain seperti Jose Molina atau Andoni Zubizarreta.

Monchi kemudiannya menamatkan karier bersama Los Nervionenses pada tahun 1999 selepas membuat 126 penampilan.

Dari situ, pihak pengurusan memberi peluang kepadanya menggalas tanggungjawab sebagai pengarah sukan kelab.

Sedar dirinya masih setahun jagung untuk jawatan berkenaan dan kelab berada dalam divisyen dua, Monchi mula mempelajari selok-belok pengurusan bola sepak dengan melihat model kelab seperti FC Porto dan Olympique Lyon.

Dua kelab ini menjadi pilihan kerana selain bergelar juara dalam saingan domestik atau antarabangsa, mereka menjual pemain bintang dan membina kembali pasukan.

Pengajarannya di sini ialah mana-mana pemain mempunyai harga yuran perpindahan tertentu.

Suka atau tidak, apabila harga tersebut dipenuhi, maka mereka harus menjualnya.

Dari situ, kelab harus mendapatkan pemain dengan yuran perpindahan yang sesuai bagi memastikan tawaran pemain bersifat lumayan.

Semasa dua tahun awal sebagai pengarah sukan Sevilla, kelab tidak berbelanja banyak.

Namun itu masih mencukupi untuk membantu jurulatih Joaquin Caparros membina pasukan dan layak kembali ke saingan La Liga.

Pada tahun 2002, kelab memberi kepercayaan kepadanya mendapatkan Daniel Alves secara perpindahan kekal selepas menyerlah semasa dipinjamkan dari kelab Bahia (Brazil).

Siapa sangka pemain yang hanya bernilai €500,000 menjadi antara pemain pertahanan termahal dalam posisinya enam tahun kemudian. Ianya berlaku apabila Barcelona membayar yuran perpindahan sebanyak £23.5 juta sebagai sebahagian daripada proses pembinaan pasukan bimbingan Pep Guardiola.

Perpindahan tahun 2002 itu merupakan permulaan revolusi Monchi.

Sejak itu, kelab bukan saja berjaya kekal dalam La Liga selama 20 musim berturut-turut.

Malah, mereka turut melakar kejayaan piala di peringkat domestik dan antarabangsa seperti Copa del Rey pada 2007 dan 2010; pemenang Piala UEFA 2006 dan 2007; pemenang Liga Europa pada 2014, 2015, 2016 dan 2020.

Kesemua kejayaan kelab mendapat sentuhan magis Monchi walaupun bertukar pengurus.

Beliau kemudiannya memilih meninggalkan Estadio Ramon Sanchez Pizjuan dan berkelana ke Rom sebagai pengarah sukan AS Roma selama dua musim dari 2017 hingga 2019.

Kini, Monchi kembali semula ke Sevilla sebagai pengarah sukan tetapi berdepan cabaran baru berbentuk Covid-19.

Seperti kelab lain, Sevilla berdepan kerumitan dari segi rundingan pemain, kerja-kerja peninjauan dan menilai kos kewangan untuk semua senario termasuk pembatalan La Liga.

Justeru, tidak hairanlah sesetengah pembelian dianggap pembelian bijak musim ini seperti Ivan Rakitic dari Barca dengan yuran perpindahan €1.5 juta selepas pemain tengah Croatia itu dijual kepada Barca dengan harga €20 juta pada tahun 2014.

Dengan proses peninjauan pemain sudah berubah termasuk penggunaan data yang banyak, ia mempengaruhi setiap urusan perpindahan.

Ya, proses peninjauan biasa masih lagi digunakan tetapi dengan menggabungkan dua pendekatan ini, ia sekurang-kurangnya mengurangkan risiko pemain gagal di kelab dan memastikan nilai mereka tidak susut di pasaran perpindahan.

Monchi dan pasukan penganalisisnya berharap dapat mengembangkan revolusi data mereka ke bahagian-bahagian pengurusan kelab yang lain seperti penjualan tiket serta pemasaran.

Kini, dengan algoritma yang dibangunkan mereka, ianya dapat menganalisis 18,000 pemain yang boleh beradaptasi dengan pasukan bimbingan Julen Lopetegui itu.

Monchi melihat keperluan untuk kelab kekal relevan sepanjang masa walaupun adakalanya ia dianggap pelik.

Baru-baru ini, pengarah sukan Sevilla itu sedang mengadakan rundingan dengan sebuah firma teknologi untuk merekrut seorang pakar kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin menyertai mereka.

Berikutan kejayaannya sebagai pengarah sukan Los Nervionenses, banyak kelab yang mencuba model mereka seperti Anderlecht (Belgium), Sporting Lisbon (Portugal), AS Monaco (Perancis) dan Ajax Amsterdam (Belanda).

Sesetengah kelab ini meraih kejayaan bukan saja di atas padang tetapi di luar padang, kadang-kadang lebih berjaya daripada Sevilla sendiri.

Ada pula memilih merekrut anak-anak buah Monchi sebagai pengarah sukan mereka.

Misalnya, Victor Orta pernah berkhidmat sebagai pengarah sukan Middlesbrough bersama pengurus ketika itu, Aitor Karanka.

Selepas dipecat dari Riverside, Orta membina semula reputasinya di Leeds United dan memanfaatkan pengalaman bekerja bersama Monchi selama tujuh tahun untuk memantapkan pasukan bimbingan Marcelo Bielsa itu.

Namun bagi kelab-kelab besar, strategi mereka kekal sama iaitu berbelanja besar. Musim ini, Chelsea merupakan kelab yang paling banyak berbelanja dengan pembelian pemain berkualiti seperti Hakim Ziyech, Timo Werner, Kai Havertz dan Ben Chilwell dengan yuran perpindahan £222 juta (RM1.2 bilion).

Menariknya, Monchi tidak pernah menyembunyikan kekagumannya terhadap Liga Perdana Inggeris (PL).

Pada tahun 2013, beliau menetap di London selama enam bulan untuk mempelajari Bahasa Inggeris dan membuat beberapa penyelidikan.

Bila ditanya mengapa, Monchi menjawab, “Saya sedang mencari maklumat perniagaan. PL mempunyai model perniagaan berdaya maju dan saya ingin meniru dan melaksanakannya di Sevilla. Mereka berupaya menjadikan bola sepak sebagai mesin keuntungan melalui televisyen, pemasaran dan kebersamaan – semua ramuan yang membolehkan bola sepak Inggeris menggandakan pendapatan mereka berbanding bola sepak Sepanyol.”

Selepas 20 tahun membuat keputusan sukar termasuk menjual pemain dan memecat pengurus, Monchi mendakwa sudah tahu cara menangani tekanan.

Ketika ini, beliau gembira dengan kedudukannya di Ramon Sanchez Pizjuan dan merasakan banyak cara yang membolehkannya menyumbang kepada kelab.

Namun Monchi sudah bersedia mengatur perpindahan seterusnya di dunia sebenar.

Beliau menambah, “Saya berhutang dengan keluarga saya, kawan-kawan saya dan diri saya sendiri. Saya perlu memberi kembali masa kepada mereka termasuk saya. Itulah sebab saya tidak akan kekal lama.”

Monchi menambah, hari di mana beliau akan meninggalkan kelab ialah hari di mana beliau merasa risau untuk kembali ke pejabat pengarah sukannya.

Hari itu padanya dilihat sebagai hari terakhir bersama kelab dan tanda dirinya patut bersara.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Urbano, C. (2020). Monchi: Sevilla sporting director on his methods and mission. BBC.

Comments