Apabila Ralf Rangnick melihat gol Cristiano Ronaldo semasa menentang Villareal, beliau tahu inilah contoh corak permainan yang mahu diterapkannya. Tekanan tinggi yang dikenakan Fred membuka ruang peluang jaringan berkenaan. Tetapi Rangnick juga sedar angkara Gegenpressing, ia secara tidak langsung menjatuhkan tiga pengurus Manchester United termasuk Ole Gunnar Solskjaer.
Gegenpressing menjadi elemen utama transformasi Liverpool di bawah Jurgen Klopp sejak tiba di Anfield pada pertengahan musim 2015-2016. Sejak itu, Reds tidak menoleh ke belakang dengan menjulang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2018-2019 dan EPL 2019-2020. Tidak lupa menamatkan karier Jose Mourinho dan Solskjaer dengan kemenangan bergaya di Anfield pada 2018-2019 dan Old Trafford musim ini.
Sementara anak muridnya Thomas Tuchel pula melakar kejayaan bersama Borussia Dortmund, Paris Saint Germain dan Chelsea dengan gaya permainan sama. Justeru, tidak hairanlah apabila United mengumumkan ketibaannya sebagai pemangku pengurus, Klopp dan Tuchel merasa gusar. Ini kerana Red Devils telah memanggil mahaguru gegenpressing untuk mengatasi corak taktikal anak muridnya (Klopp dan Tuchel).
Rangnick sebenarnya sudah mempunyai hubungan mendalam dengan England sejak sekian lama. Semasa menyambung pengajian di Universiti Sussex, anak jati Backnang itu pernah bermain bersama pasukan bukan liga Southwick. Tetapi selepas kembali ke Jerman, Rangnick melepaskan impian bergelar pemain profesional dan memberi fokus menjadi pengurus. Kelab pertamanya ialah kelab tanah kelahirannya FC Viktoria Backnang.
Semasa di kelab inilah, Rangnick diperkenalkan dengan gegenpressing buat kali pertama. Semuanya bermula apabila gergasi Ukraine Dynamo Kiev menjemput mereka sebagai lawan untuk satu perlawanan persahabatan pada 1983. Kiev pada ketika itu dibimbing oleh jurulatih legenda Valeriy Lobanovskyi.
Rangnick perasan selepas beberapa minit bola dikeluarkan untuk lontaran ke dalam, beliau menyangka pasukannya bermain melawan 13 atau 14 orang pemain Kiev. Setiap kali Viktoria Backnang mendapat bola, mereka ditekan oleh setiap pemain lawan. Ini sama sekali berbeza dengan pasukan lain yang sekurang-kurangnya memberi mereka ruang untuk bernafas.
Menerusi perlawanan inilah, Rangnick mengakui ini merupakan kali pertama beliau melihat pemain menekan dan mengawal penguasaan bola secara sistematik. Lantas, ia dipraktikkan buat kali pertama dengan pasukan bawah 19 tahun VfB Stuttgart sebelum digunakan untuk pasukan utama sedekad kemudian. Ironinya, di sinilah tempat Rangnick memberi peluang pertama kepada Tuchel sebagai jurulatih pasukan remaja.
Selepas prestasi tidak menentu di Mercedes-Benz-Arena, beliau turun ke divisyen dua Jerman untuk membimbing Hannover 96. Walaupun dianggap satu percaturan berisiko, Rangnick berjaya membawa mereka kembali ke Bundesliga. Ini disusuli dengan peluang menguruskan salah satu gergasi Bundesliga iaitu Schalke 04.
Selepas dilepaskan Schalke pada Disember 2005, Rangnick sekali lagi membuat kejutan dengan turun ke divisyen tiga Jerman selepas mendapat tawaran menguruskan Hoffenheim. Hoffenheim yang didukung oleh jutawan Dietmar Hopp bukan saja kembali ke Bundesliga dalam tempoh dua musim. Malah, asas yang ditinggalkan Rangnick membantu kelab itu kerap membuat kemunculan di Eropah.
Kemudian pada 2012, Red Bull menawarkan cabaran baru berbentuk pengarah sukan untuk Red Bull Salzburg dan RB Leipzig. Dalam tempoh tujuh tahun, kedua-dua kelab menikmati kejayaan berdasarkan konsep 3C iaitu modal (capital), competence (kecekapan) dan konsep (concept). Menurut Rangnick, tiga komponen ini saling melengkapi antara satu sama lain dan menjadi kunci kejayaan sesebuah kelab jika dilaksanakan bersama.
Tiga aspek ini diharap dapat dikembalikan semula ke Old Trafford melalui perlantikan beliau sebagai pemangku pengurus. Untuk tempoh enam bulan, tugasnya mudah: rapatkan kedudukan dengan protege-protegenya termasuk mengisi slot UCL. Untuk dua tahun seterusnya, Rangnick memberi input tentang apa yang perlu dimantapkan dari segi organisasi termasuk urusan perpindahan. Tetapi jangan terkejut jika Bapa Gegenpressing memilih untuk kekal di kerusi pengurus melebihi tempoh enam bulan dinyatakan.