Rahsia Kebangkitan Bola Sepak Vietnam

15 tahun lalu, dunia bola sepak Vietnam berada di tahap paling rendah selepas pasukan mereka berada di kedudukan ke-172. Tetapi sejak itu, mereka kembali bangkit sebagai antara kuasa bola sepak Asia Tenggara yang disegani dengan menduduki tangga ke-99 rangking FIFA. Ini menjadikan Vietnam satu-satunya negara ASEAN yang berada dalam kedudukan 100 teratas.

Jadi, bagaimana semua ini bermula? Semuanya bermula dengan penubuhan Akademi Hoang Anh Gia Lai – pusat latihan bola sepak pusat pertama di Vietnam. Ia terhasil menerusi kerjasama kelab EPL Arsenal, sekolah bola sepak Perancis JMG Academy dan konglomerat Vietnam Hoang Anh Gia Lai.

Advertisement

30 pemain akademi ini dipilih setiap tahun dengan pada awalnya, mereka bermain secara kaki ayam. Fokus utama mereka pada peringkat awal ialah penguasaan bola dengan cara menimbang bola. Setelah berjaya menguasai kemahiran ini, barulah mereka dibenarkan bermain dengan memakai kasut but. Mereka tinggal di vila-vila selama tujuh tahun dan selepas itu dipilih menyertai pasukan-pasukan Liga Vietnam (V-League). 10 pelatih awal akademi ini kini membarisi pasukan Hoang Anh Gia Lai FC.

Ini membawa kepada penubuhan akademi-akademi bola sepak lain. Ini termasuk Akademi Dana Promosi Bakat Bola Sepak Vietnam (PVF) dengan legenda Wales dan Manchester United, Ryan Giggs sebagai pengarah akademi. Selain melatih pemain, Giggs turut melatih dan menilai para jurulatih akademi.

Kini, PVF dianggap sebagai antara akademi bola sepak yang berprestij di peringkat Asia. PVF merupakan satu-satunya akademi bola sepak Asia yang mendapat gred tiga bintang oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Penggredan sebegini merupakan sebahagian daripada Skim Pemain Remaja Elit yang diharap membantu program pembangunan akar umbi negara-negara anggota AFC. Antara 20 kategori yang dinilai bagi menentukan gred sesebuah akademi seperti aspek kebajikan, psikologi dan pendidikan pemain.

Kelab-kelab V-League seperti Viettel dan Ha Noi turut tidak ketinggalan menubuhkan akademi mereka sendiri. Kehadiran ramai pemain muda berbakat memberi suntikan besar kepada pasukan kebangsaan pelbagai peringkat usia termasuk pasukan senior.

Impak pemain-pemain ini mula dirasai menerusi kejayaan pemain bawah 23 tahun Vietnam menjadi naib juara Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC. Pada 2018, mereka melakar kejutan dengan menduduki tangga keempat Sukan Asia sekaligus menjadikan mereka pilihan utama emas bola sepak Sukan SEA 2019. Ramalan itu direalisasikan dengan kejayaan mereka dalam edisi Sukan SEA berkenaan.

Sesetengah daripada graduan Akademi Hoang Anh Gia Lai kemudiannya menjadi pujaan penyokong seperti Nguyen Cong Phuong, Nguyen Hoang Duc dan Nguyen Quang Hai. Bagi penganalisis bola sepak Vietnam Quan Tran Tue, ini menunjukkan penubuhan akademi-akademi bola sepak merupakan langkah yang mendatangkan dividen untuk jangka masa panjang.

Satu lagi sebab kejayaan mereka ialah kehadiran jurulatih Park Hang-seo. Sejak tiba di Hanoi pada 2017, beliau bertanggungjawab membimbing pasukan bawah 23 tahun dan senior melakar pelbagai kejayaan. Bagi peminat bola sepak Korea, Hang-seo dikenali sebagai penolong jurulatih legenda Belanda, Guus Hiddink yang membantu Korea Selatan menduduki tempat keempat Piala Dunia 2002.

Bagi Hang-seo, walaupun pemain Vietnam mempunyai fizikal kecil jika dibandingkan dengan pemain Jepun dan Korea Selatan, mereka boleh berlari dengan pantas dan bijak membuat keputusan. Justeru, kelebihan unik mereka ini patut dilihat sebagai aset dan bukan satu kelemahan oleh sesetengah pihak.

Begitupun, selepas Vietnam mengalami tujuh kekalahan berturut-turut, ramai merasakan Vietnam dan Hang-seo menukar formasi dan strategi permainan. Ini kerana formasi 5-4-1 dan corak permainan serangan balas disifatkan sebagai terlalu berhati-hati. Tetapi perlu diingat, mereka kalah dengan pasukan berkedudukan rangking yang lebih tinggi,

Vietnam sendiri mempunyai rekod  tanpa kalah dengan pasukan-pasukan ASEAN sejak dilatih oleh Hang-seo. Begitupun, rekod tersebut musnah selepas Vietnam menjadi mangsa amukan Thailand pada separuh akhir Piala AFF baru-baru ini. Tetapi itu menunjukkan standard mereka kini hanya boleh disaingi Thailand. Sekiranya Vietnam meneruskan usaha mereka ini, tidak mustahil mereka muncul sebagai kuasa bola sepak Asia baru yang digeruni.

Comments