Qabil Irfan Dominasi Pusingan 4 MiniGP Malaysia di Langkawi

LANGKAWI, 25 September – Penunggang remaja Terengganu, Qabil Irfan terus mengungguli saingan FIM MiniGP Malaysia Championship Series 2022, yang berlangsung di Litar Go Kart MORAC Adventure Park di Cenang, Langkawi untuk mengesahkan salah satu daripada dua tiket untuk mewakili negara pada kejuaraan World Finals, yang akan diadakan di Valencia, Sepanyol pada November ini.

Selepas mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan dengan catatan masa 1 minit 11.675 saat mengelilingi litar sepanjang 1,230 meter ini untuk sekali lagi dianugerahkan Pirelli Pole Position Award, penunggang berusia 10 tahun ini memenangi kedua-dua perlumbaan hari ini untuk mengutip 50 mata dan membawa kepada jumlah keseluruhan pungutan mata beliau kepada 186 mata.

Advertisement

Tempat kedua keseluruhan kini diduduki oleh Adi Putra dengan 154 mata dengan disusuli oleh Akif Abdullah di tempat ketiga keseluruhan dengan 129 mata. Kedua-dua Adi dan Akif terpaksa akur dengan penguasaan Qabil di Langkawi dengan masing-masing terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua dan ketiga pada kedua-dua perlumbaan hari ini.

Dengan hanya berbaki satu pusingan dan 50 mata maksima, Qabil, juara SIC Ohvale Championship musim lepas, sudah memastikan sekurang-kurangnya tempat kedua keseluruhan walaupun lebih besar kemungkinan akan ditabalkan sebagai juara keseluruhan berdasarkan kepada prestasi yang dipamerkan beliau sepanjang kejuaraan ini.

Malaysia diberikan dua tempat pada saingan FIM MiniGP World Finals di Valencia, yang dianjurkan oleh promoter kejuaraan MotoGP Dunia, Dorna dan merupakan pentas tertinggi untuk saingan kumpulan umur remaja ini sebagai sebahagian daripada program ‘Road to MotoGP’ mereka.

Saingan kelima dan pusingan akhir saingan FIM MiniGP Malaysia Championship Series 2022 akan diadakan di Litar Go-Kart Sepang pada 15 dan 16 Oktober ini.

Sumber: Tarmac Sports

Comments