Beberapa hari lepas, Itali kecewa kerana tidak layak ke Piala Dunia 2022. Ini selepas mereka kalah mengejut kepada Macedonia Utara 1-0 di tempat sendiri hasil jaringan lewat Alexander Trajkovski. Selepas menjulang EURO 2020 di Wembley musim panas tahun lepas, mereka sepatutnya layak ke Qatar sebagai pilihan utama. Tetapi beberapa faktor menyumbang kepada kejatuhan mereka.
- Kebebasan kreativiti hilang
Satu perkara yang disedari penyokong Itali selepas Roberto Mancini mengambil alih Azzurri ialah pemain diberi kebebasan kreativiti untuk menyerang pihak lawan. Ini mendorong kepada pertukaran corak permainan yang lebih positif yang menaikkan moral penyokong pra-EURO 2020.
Semasa EURO 2020, Itali terus menunjukkan rentak permainan menghiburkan. Tetapi semua itu berubah apabila Leonardo Spinazzola mengalami kecederaan semasa perlawanan suku akhir menentang Switzerland. Ini memaksa Azzurri terpaksa kembali menggunakan format permainan bertahan dan ia berterusan sehingga kelayakan Piala Dunia 2022.
Memang benar Itali mendominasi perlawanan separuh akhir play-off menentang Macedonia Utara. Tetapi ia turut mendedahkan satu masalah lain iaitu ketumpulan bahagian serangan.
- Ketumpulan penyerang
Entah di mana silapnya, barisan penyerang Itali seakan tumpul di depan pintu gol. Buktinya, enam keputusan seri daripada sembilan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022. Ini termasuk perlawanan separuh akhir play-off menentang Macedonia Utara.
Apa yang lebih menggusarkan ialah kegagalan Ciro Immobile menterjemah prestasi cemerlangnya bersama Lazio ke pasukan kebangsaan. Sementara Domenico Berrardi pula gagal memanfaatkan peluang terhidang semasa perlawanan separuh akhir play-off.
- Nasib malang
Ini sesuatu yang diakui boleh berlaku dalam bola sepak. Malah, Mancini turut mengakui dalam sesetengah perlawanan, tuah tidak memihak kepada Azzurri. Contoh paling mudah, Jorginho gagal menyumbat penalti minit akhir semasa menentang Switzerland.
Dalam perlawanan yang lain membabitkan Itali dan Switzerland, giliran penjaga gol Yann Sommer meranapkan impian pemain tengah Chelsea itu. Kecekapan Sommer menafikan penalti Jorginho mengakibatkan Itali seri dengan Switzerland pada perlawanan kelayakan yang berlangsung pada September tahun lepas.
Mancini juga harus menanggung kesalahan atas kelayakan ini. Benar, pemain boleh saja bernasib malang walaupun mempamerkan prestasi baik atas padang seperti Jorginho. Tetapi beliau juga sepatutnya berani menggugurkan pemain yang berdepan prestasi buruk seperti Nicolo Barella dan Lorenzo Insigne. Kehadiran mereka seolah-olah menambah lagi prestasi buruk Itali sepanjang kelayakan Piala Dunia 2022.