Liga Perdana Inggeris (PL) menyaman sebuah penyiar China kerana gagal membayar hak penyiaran perlawanan secara langsung liga terkaya di dunia itu.

Dalam dokumen saman yang difailkan di mahkamah Britain, Liga Perdana Inggeris (PL) menuduh PPLive Sports International Ltd, sebuah anak syarikat Suning Group gagal membayar AS$210.3 juta (RM873.6 juta) untuk perlawanan siaran langsung dan AS$5 juta (RM20.7 juta) lagi untuk pakej sorotan serta faedah.

Advertisement

Walaupun semua maklum kekayaan dimiliki PL, PL juga tidak terlepas daripada impak kewangan yang dibawa pandemik Covid-19.

Kredit: Sky Sports

 

Hal ini demikian kerana kelab-kelab bukan saja kehilangan pendapatan hari perlawanan selepas bermain di stadium tanpa kelibat penonton. Malah, PL berdepan tuntutan rebat daripada penyiar-penyiar kerana mengatur semula jadual perlawanan.

Pada 26 Ogos lalu, PPLive menerusi satu surat mahu keluar daripada kontrak penyiaran lumayan dengan PL atas alasan tidak mahu membayar bayaran penyiaran sebanyak £160 juta (RM860 juta) yang sepatutnya ditunaikan pada Mac lepas.

Pihak liga menganggap ia sebagai satu perlanggaran kontrak dan segera memutuskan hubungan dengan PPLive. Susulan itu, PL kemudiannya mengadakan perjanjian dengan Tencent untuk penyiaran perlawanan di China.

Pensyarah kewangan bola sepak di Universiti Liverpool, Kieran Maguire menganggap saman yang difailkan PL sebagai satu-satunya jalan yang boleh diambil mereka.

Maguire berkata, “Jika mereka tidak mengambil tindakan, semua operator penyiaran lain di seluruh dunia akan cuba melakukan perkara sama sekiranya pandemik Covid-19 terus mengganggu jadual perlawanan.”

Maguire turut menyifatkan menerusi pembatalan kontrak dengan PPLive, kelab-kelab PL berdepan kerugian sebanyak AS$10 juta per musim. Bagi PPLive, ia dianggap satu kehilangan tetapi bagi firma-firma digital persis Tencent, ia dianggap satu berita baik.

Ini kerana walaupun maklumat kewangan perjanjian tersebut tidak didedahkan, Tencent boleh menyiarkan perlawanan secara langsung di platform-platform digitalnya seperti WeChat, QQ.com dan Tencent Video.

Kelab-kelab juga boleh berkongsi video pendek semasa perlawanan agar dapat berhubung dengan penyokong-penyokong mereka di negara Tembok Besar itu.

Perjanjian sebegini memperlihatkan saingan merebut hak penyiaran perlawanan liga paling kaya di dunia itu semakin sengit.

Jika dahulu, ia didominasi oleh penyiar-penyiar tradisional. Kini, firma-firma digital juga mahukan hak perlawanan dapat ditonton oleh semua di dunia maya.

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Bloomberg. (2020). Tencent clinches English Premier League deal to replace PPTV as official broadcast partner for China market. South China Morning Post. Dipteik daripada https://www.scmp.com/sport/football/article/3101971/tencent-clinches-english-premier-league-deal-replace-pptv-official

Bloomberg. (2020). Premier League sues China partner for US$215.3 mil. Free Malaysia Today. Dipetik daripada https://www.freemalaysiatoday.com/category/sports/2020/10/07/premier-league-sues-china-partner-for-us215-3-mil/

Collings, S. (2020). Premier League terminates TV deal with Chinese broadcaster PPTV. London Evening Standard. Dipetik daripada https://www.standard.co.uk/sport/football/premier-league-terminates-tv-deal-chinese-broadcaster-a4539521.html

Comments