
HOCKENHEIMRING, Jerman, 26 Julai 2019 — PETRONAS, melalui subsidiari milik penuhnya, PETRONAS Lubricants International (PLI) hari ini mengumumkan satu pencarian global untuk Jurutera Bendalir Litar PETRONAS bagi memberi sokongan teknikal di lapangan untuk Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport dalam Kejohanan Dunia FIA F1™ 2020.

“Di PLI, kami sentiasa dicabar untuk meningkatkan reka bentuk dan penyerahan Fluid Technology Solutions™ PETRONAS kami untuk memastikan pasukan berada di hadapan perlumbaan. Kami menguji bakat dan teknologi bertaraf dunia kami untuk menyediakan produk serta perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan rakan kongsi kami dalam sukan bermotor, OEM dan akhirnya, pengguna harian kami. Ia merupakan satu peluang sekali seumur hidup untuk calon yang layak menjadi sebahagian daripada pasukan untuk membangunkan penyelesaian bendalir termaju demi kemenangan kejohanan pada masa depan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLI, Giuseppe D’Arrigo.
Sebagai anggota dalam pasukan sokongan teknikal litar PETRONAS, jurutera akan mengawasi dan menjalankan analisis untuk Primax Fuel PETRONAS, Syntium Lubricant PETRONAS dan Tutela Functional Fluids PETRONAS bagi memastikan pematuhan penuh dengan peraturan FIA serta memberi prestasi optimum untuk Juara-juara Pengeluar Dunia FIA Formula One™ sebanyak lima kali.
Pencarian sulung 2018 telah menerima lebih 7000 pemohon di peringkat global. Selepas menjalankan proses pemilihan yang ketat, lima calon mara ke pusingan separuh akhir, termasuk penghantaran video dan pembentangan kajian kes. Tiga calon ditemu duga dengan D’Arrigo di Kuala Lumpur, Malaysia dan anak kelahiran Zimbabwe berusia 24 tahun Stephanie Travers dilantik sebagai Jurutera Bendalir Litar PETRONAS.
“Ia telah lama menjadi impian saya untuk bekerja dalam F1™, maka saya amat bersyukur atas peluang ini. Bukanlah tiada cabarannya, tetapi saya belajar setiap hari untuk tetap tenang dan memberi yang terbaik sehabis mungkin. Pasukan tersebut merupakan pasukan yang benar-benar hebat untuk bekerjasama maka saya berasa gembira dan menikmati pengalaman yang luar biasa ini,” kongsi Travers.
Toto Wolff, Ketua Pasukan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport menambah, “Sepanjang perkongsian kami selama sedekad lamanya, bahan api dan minyak PETRONAS telah menjadi nadi dalam kereta kami dan PETRONAS memainkan peranan yang tidak ternilai dalam memberikan prestasi dan keandalan konsisten yang penting untuk lima tahun kejayaan Kejohanan Dunia yang lalu.”
“Pakar-pakar bendalir PETRONAS memberi kami analisis pada waktu sebenar dan pengesanan awal melibatkan cabaran yang berpotensi – kepakaran teknikal yang penting. Stephanie telah menjadi suatu penambahan hebat dan kami teruja untuk memupuk bakat baharu yang menyertai keluarga litar kami pada tahun 2020.”

Pencarian dibuka sehingga 25 September 2019. Untuk memohon, kunjungi halaman LinkedIn PETRONAS Lubricants International atau emelkan kepada [email protected].