Petr Cech & Drummer Queen Bikin Lagu

Petr Cech merupakan lagenda Liga Perdana Inggeris (EPL) yang pernah beraksi bersama Chelsea dan pasukan meriam bawahan liga.

Bersama Chelsea, Petr Cech telah menikmati pelbagai kejuaraan seperti Liga Juara-Juara Eropah (UCL), EPL dan Piala FA.

Advertisement

Selepas sahaja bersara, beliau telah menukar angin dengan menyertai pasukan hoki ais Guilford Phoenix sebagai penjaga gol.

Namun begitu tahukah anda, Petr Cech pernah menghasilkan lagu dan lebih memeranjatkan lagi beliau turut berkolaborasi dengan pemain drum kumpulan Queen iaitu Roger Taylor.

Kumpulan Queen tidak perlu diperkenalkan lagi kerana merupakan salah satu legenda rock dunia. Band ini juga sangat popular dengan beberapa lagu seperti Bohemian Rhapsody dan We Will Rock You. Jadi lagu apa yang telah mereka berdua hasilkan?

Petr Cech telah menghasilkan lagu bertajuk That’s Football dengan bantuan Roger Taylor. Penghasilan lagu ini adalah bertujuan untuk mengumpul dana bagi pertubuhan kebajikan Willow Foundation.

Sebelum Petr Cech mengambil keputusan untuk mencipta lagu sendiri, beliau terlebih dahulu gemar memuatnaik rakaman dirinya menyanyikan lagu kumpulan rock terkemuka seperti Foo Fighters, Nirvana dan Stereophonics.

Jadi mungkin dari situ Petr Cech terinspirasi untuk menghasilkan lagu hasil kolaborasi bersama pemain drum kumpulan Queen. Buat pengetahuan anda semua, legenda Chelsea itu juga sangat meminati drum sejak bermain bersama Carlo Cudicini pada 2011 melalui permainan video Rock Band.

Malah, Petr Cech tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan sebuah band selepas sahaja beliau bersara. Walau bagaimanapun, semua itu tidak menjadi kenyataan apabila Petr Cech kembali semula kepada kem Chelsea sebagai salah seorang staf kejurulatihan.

Apa yang lebih mengejutkan lagi, nama Petr Cech tersenarai sebagai salah seorang penjaga gol simpanan Chelsea ekoran ketidaktentuan prestasi penjaga gol utama iaitu Kepa Arrizabalaga.

Kemasukan Edouard Mendy juga tidak memberikan banyak impak kepada garisan terakhir Chelsea.

Hal ini sekaligus memaksa Petr Cech keluar daripada persaraan tetapi beliau masih belum lagi beraksi dalam sebarang perlawanan rasmi.

#iSportsAsia

Oleh: Azmil Azali

Sumber

Tanner, J. (2019, May 3). Petr Cech to release single in collaboration with Queen legend Roger Taylor. Sky Sports. Dipetik daripada https://www.skysports.com/…/petr-cech-to-release-single…

 

Comments