Perubahan nama pada sesebuah kelab bukan sesuatu yang asing dalam sejarah sukan bola sepak.
Hatta, kelab terkenal juga tidak terlepas daripada perubahan nama sebelum dikenali seperti Manchester United (Newton Heath) atau Liverpool (Everton Athletics).
Namun begitu, apa reaksi anda sekiranya nama pasukan pujaan anda ditukar atas arahan pihak liga dan persatuan bola sepak kebangsaan?
Perkara ini yang berlaku di China atau lebih tepat Liga Super China (CSL).
Sebagai sebahagian daripada pelan reformasi bola sepak yang diperkenalkan Persatuan Bola Sepak China (CFA) pada tahun 2015, nama kelab bola sepak mestilah bebas daripada nama pemilik atau pelabur mereka.
Sebaliknya, satu nama yang baru dan bebas perlu digunakan berkuatkuasa musim hadapan.
Peraturan ini dijangka memberi kesan kepada hampir kesemua pasukan CSL termasuk juara liga Jiangsu Suning.
Suning merupakan gergasi peruncitan di China dan merupakan pemilik kelab gergasi Itali, Inter Milan. Sementara Evergrande (Guangzhou Evergrande) pula merupakan pemaju hartanah terbesar China.
Tianjin Teda dan Beijing Guoan juga tidak terlepas daripada perubahan ini.
Hal ini demikian kerana Teda ialah sebuah syarikat milik kerajaan wilayah telah meletakkan nama itu pada kelab berkenaan sejak tahun 1998.
Salah seorang penyokong Tianjin Teda, Sam Wang merasa tidak berpuas hati dengan idea yang dibawa CFA ini.
“Kelab berasaskan syarikat telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kami selama beberapa generasi. Ia sangat menyedihkan apabila anda mendengar berita pada waktu pagi bahawa CFA tidak akan membenarkan nama itu wujud lagi,” katanya.
Sementara Zhu Fulei yang menyokong kelab Wuhan Zall pula menambah, “Nama kelab ini telah bersama kami selama bertahun-tahun. Sama ada tua atau muda, kami memanggil pasukan dengan nama ini setiap hari.”
Bagi memastikan tentangan penyokong dapat diredakan, sesetengah kelab mula mengumpul pendapat penyokong tentang nama baru yang dipilih.
Antara kelab yang berbuat demikian ialah Guangzhou R&F (R&F merupakan syarikat pemaju hartanah China) dengan mengadakan tinjauan di Weibo (Twitter versi China) nama apa yang patut diberi kepada Guangzhou pada musim hadapan.
Oleh: Moustapha Abbas
Sumber
AFP. (2020). Fans furious as Chinese football clubs told to change names. Free Malaysia Today.