Permulaan Musim Mengecewakan Buat Pearly-Thinaah

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) — Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah memulakaan musim baharu dengan langkah kiri apabila tersingkir seawal pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, di sini hari ini.

Pasangan nombor enam dunia itu dikejutkan pada kejohanan berstatus Super 1000 itu oleh pasangan adik-beradik dari Bulgaria, menghuni ranking ke-14 dunia, Gabriela StoevaStefani Stoeva, 19-21,14-21, dalam masa 31 minit.

Advertisement

Juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu, yang tidak berada dalam prestasi terbaik mereka hari ini, kecewa dengan kekalahan di hadapan penonton tuan rumah selepas berjaya mara ke pusingan kedua tahun lalu.

“Bukan perlawanan yang baik untuk kami, malah pemain lawan beraksi sangat baik. Mereka dapat mengawal pergerakan angin dengan baik dan memberi tekanan pada set kedua dengan serangan agresif, kata Pearly.

Bagaimanapun, Thinaah, berkata mereka tekad untuk bangkit semula dengan lebih mantap menjelang saingan Terbuka India dari 17 hingga 22 Jan ini.

“Saya rasa hari ini menang tidak menjadi. Kami perlu kembali melihat dan meneliti semula kesilapan dan kelemahan dan kembali semula dengan lebih mantap,” katanya.

Sementara itu, beregu campuran baharu negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing mencipta kejutan untuk mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan nombor 16 dunia dari Jepun, Kyohei Yamashita-Naru Shinoya 21-11, 15-21, 21-19.

Walaupun hanya beraksi kejohanan ketiga sejak berganding Disember lalu, pasangan nombor 157 dunia itu menunjukkan keyakinan dan keazaman untuk menyingkirkan wakil dari Jepun itu.

“Set pertama sedikit gementar, tetapi kami mendapat momentum pada set kedua dan berjaya menyesuaikan diri dengan pergerakan angin pada set ketiga untuk menang,” kata Pang Ron.

Katanya, mereka akan merancang untuk menentang pilihan kelapan, Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis pada pusingan kedua, Khamis ini.

Mei Xing, yang akan beraksi dalam beregu wanita bersama Go Pei Kee esok menentang rakan senegaranya, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, gembira dapat dinaikkan ke undian utama pada minit terakhir.

Saya sangat gembira mendapat peluang bermain dalam kedua-dua acara beregu campuran dan wanita dalam kejohanan ini, saya sangat berharap dapat beraksi dengan baik.

“Sebenarnya beberapa minggu lepas ini, saya tidak berlatih pun dengan Pei Kee, jadi saya tidak terlalu memikirkan…saya cuba berkomunikasi dengannya dan melakukan yang terbaik di gelanggang,” katanya.

BERNAMA

Comments