Apabila berbicara tentang sukan, sudah pasti ramai yang akan memikirkan pelbagai aktiviti sukan kegemaran mereka. Setiap manusia sudah pasti mempunyai aktiviti sukan yang mereka sering lakukan.
Ramai manusia melakukan aktiviti sukan kerana hobi dan secara tidak langsung akan membantu individu itu untuk hidup lebih sihat. Gaya hidup yang lebih sihat boleh dicapai dengan melakukan aktiviti bersukan.
Permainan video pula sering kali dijadikan punca hidup seseorang itu tidak sihat. Itu adalah stigma masyarakat yang sukar untuk dihakis tetapi bukanlah perkara yang mustahil untuk dilakukan.
Namun cuba bayangkan apabila aktiviti sukan dan permainan video digabungkan lalu membentuk satu mahakarya yang akan memberi perbezaan di dalam hidup seseorang.
Hal ini demikian kerana bukan semua individu mampu untuk beraksi dalam sukan kegemaran mereka pada peringkat yang tertinggi.
Dengan wujudnya permainan video ini, sudah pasti memberi peluang kepada individu tersebut untuk merasai bagaimana suasana jika bertanding pada peringkat antarabangsa.
Selain itu, dalam permainan video juga seseorang itu boleh mengawal pemain-pemain sukan yang menjadi idola mereka.
Hal ini dibuktikan apabila hampir kesemua muka hadapan permainan video akan menggunakan pemain yang terkenal sebagai duta.
Terdapat beberapa permainan video sukan yang boleh dikatakan terbaik dari segi adunan sukan dengan permainan video.
Permainan video sukan yang paling popular sudah semestinya permainan video FIFA. Permainan video berteraskan sukan bola sepak ini sudah mula bertapak dalam industri permainan sejak dari era 90-an lagi.
Jadi sudah semestinya permainan video ini mempunyai tempat yang istimewa dalam hati pemain permainan video.
Walaupun sudah lebih daripada 20 edisi yang dikeluarkan, namun setiap edisi yang dikeluarkan sudah pasti akan ada beberapa ciri tambahan yang akan dikemaskini supaya permainan video ini tanpak lebih realistik.
Berbeza dengan permainan video FIFA, untuk penggemar sukan bola sepak tetapi lebih kepada pengurusan pasukan ataupun kejurulatihan, permainan video yang paling sesuai untuk mereka adalah Football Manager.
Football Manager merupakan permainan video bola sepak yang paling terperinci jika hendak dibandingkan dengan permainan video yang lain.
Hal ini disebabkan cara pengurusan yang sama dalam dunia sebenar diaplikasikan dalam permainan video ini.
Contoh yang boleh dilihat adalah soal perpindahan pemain, menetapkan polisi pasukan dan juga menentukan cara latihan pasukan.
Walaupun sukan bola keranjang bukan merupakan sukan yang popular di Malaysia, namun populariti sukan ini sebenarnya boleh diklafikasikan sebagai antara sukan yang terkenal di dunia.
Maka tidak hairan apabila permainan video yang berteraskan permainan bola keranjang ini mampu dijual sebanyak 7 juta salinan pada edisi 2014. LeBron James yang ketika itu bermain untuk Miami Heat dipilih sebagai duta muka hadapan permainan video ini.
Antara ciri tambahan yang menjadi titik jualan yang tinggi adalah pada ketika itu NBA 2K baharu saja melakukan kolaborasi untuk meletakkan liga Eropah dalam permainan video ini.
Permainan video ini sudah pasti akan menggamit memori untuk mereka yang pernah bermain ketika di platform PS1.
Tony Hawk Pro Skater merupakan permainan video yang berkonsepkan sukan ekstrem papan luncur.
Menggunakan Tony Hawk sebagai duta permainan video ini bukan satu langkah yang salah kerana beliau merupakan lagenda dalam sukan ekstrem ini.
Permainan video ini dilancarkan pada platform PS1 pada tahun 1999. Namun pada pada tahun 2020, permainan ini telah dicipta semula di platform PS4 untuk aksi yang jauh lebih realistik dan menarik.
Kesemua permainan video yang dinyatakan sebenarnya memerlukan fokus dan kemahiran yang tinggi jika hendak bersaing dengan pemain-pemain lain.
Namun, terdapat beberapa permainan video yang menggunakan temasya sukan sebagai konsep utama cuma cara bermainnya agak santai.
Permainan video ini juga merupakan permainan video rasmi untuk temasya Olimpik Tokyo 2020.
Dilancarkan untuk semua platform generasi terkini, permainan ini membenarkan anda untuk mencipta atlet anda sendiri untuk berjuang mewakili negara anda.
Tujuan permainan video ni tetap sama seperti temasya olimpik yang sebenar iaitu mengumpul pingat emas sebanyak yang boleh.
Mungkin pada masa hadapan, akan ada syarikat yang membangunkan permainan video berteraskan sukan yang berasal daripada negara kita seperti Sepak Takraw dan Silat.
Hal ini secara tidak langsung akan membantu mempromosikan budaya kita pada mata dunia.
Oleh: AmTuah