Hari ini perlumbaan sudah masuk peringkat kedua bagi LTdL 2022 yang bermula dari Kuala Klawang dan berakhir di Raub. Perlumbaan peringkat kedua akan melibatkan laluan sejauh 178.9 km dan agak panjang sedikit berbanding semalam.
Dijangka hujan akan mula turun ketika para pelumba sudah memulakan cabaran di perlumbaan peringkat kedua. Berbeza pula dengan semalam yang menyaksikan hujan hanya mula turun ketika di akhir perlumbaan. Untuk itu, kita perlu lihat ramalan cuaca di kedua-dua tempat iaitu Kuala Klawang dan Raub.
Ramalan cuaca menunjukkan hujan akan turun di Kuala Klawang pada pukul 7 pagi dan berkemungkinan berhenti ketika perlumbaan sudah dimulakan. Bagi garisan penamat di Raub, hujan dijangka akan turut ketika para pelumba sudah sampai ke destinasi.
Secara tidak langsung hujan dan cuaca kurang baik ini pastinya sedikit sebanyak bakal memberikan cabaran kepada semua pelumba. Ini kerana permukaan jalan yang licin dan agak berat pasti membuatkan para pelumba sedikit sukar untuk menyesuaikan diri. Ditambah lagi daya penglihatan akan menjadi kabur jika hujan yang turun agak lebat.
Hal ini juga turut diakui oleh Harrif Saleh ketika beraksi di perlumbaan pertama. Beliau sendiri menghadapi kesukaran untuk menghabisi perlumbaan peringkat pertama oleh kerana faktor hujan. Beliau hampir sahaja mahu drop tetapi berkat sokong daripada rakan-rakan sepasukan, beliau berjaya juga habiskan perlumbaan.
Selain itu, kita juga bakal melihat pelumba terbaik negara di peringkat pertama iaitu Mohd Zariff meningkatkan lagi momentum untuk menjadi raja bukit. Sebelum ini beliau mendapat tempat kedua dibelakang Jambaljamts Sainbayar dengan hanya ketinggalan 4 mata sahaja.
Jadi, hari ini akan menjadi pentas terbaik untuk beliau merebut jersi merah lantas ditabalkan sebagai raja bukit sekaligus mampu mencabar untuk jersi putih. Kita lihat sahaja sama ada Mohd Zariff mampu naik podium ataupun Hariff Saleh melakar kebangkitan.
Apa-apapun diharap kesemua pelumba dapat bertanding dengan baik walaupun esok diramalkan hujan akan turun. Bagi pelumba-pelumba Malaysia, ayuh tunjukkan kepada mereka bahawa anda mampu mencabar setiap kategori yang dipertandingkan.
Untuk peringkat pertama, Gleb Syritsa berjaya menjadi juara. Adakah gelaran juara akan bertukar di peringkat kedua ataupun kekal?