“Kami membuat pertukaran lewat kerana kami perlu memikirkan kemungkinan pemain akan mengalami kecederaan. Kami tak boleh membuat perubahan awal, jika kami membuat pertukaran awal dan seorang lagi pemain cedera, maka kami akan mengakhiri permainan dengan sembilan pemain.
“Ini tentang semua pemain, ini tentang semua pemain England, ini tentang pemain-pemain yang bakal beraksi untuk Kejohanan Eropah pada tahun hadapan – jika anda (Sky) tidak bercakap dengan BT, kami yang akan merana.” (Jurgen Klopp selepas perlawanan Liverpool-Leicester pada awal pagi waktu Malaysia 23 November 2020)
Sesiapa saja yang mendengar rungutan ini tahu Klopp memandang serius aspek kecergasan dan kebajikan pemain terancam akibat lambakan perlawanan yang boleh membawa kepada krisis kecederaan kronik kepada kelab-kelab.
:focal(1540x510:1542x508)/origin-imgresizer.eurosport.com/2020/10/27/2923710-60068168-2560-1440.jpg)
Tatkala pemain dan jurulatih meyumpah seranah situasi yang melanda mereka, persatuan bola sepak kebangsaan dan benua seolah-olah memandang sepi isu ini.
Ramai merasa bingung mengapa persatuan bola sepak kebangsaan dan benua tidak mahu mengurangkan bilangan perlawanan yang dilalui.
Dengan pengurangan perlawanan, ramai merasakan ia dapat melegakan tekanan fizikal dan mental yang dihadapi mereka.
Setiausaha Agung FIFPro, Jonar Baer-Hoffman berkata, “Semua orang mengetahui masalah ini tetapi tindakan yang diambil terlalu perlahan.”
Musim liga bola sepak Eropah yang lepas terganggu akibat pandemik Covid-19 hanya berakhir pada pertengahan Ogos sebelum dimulakan kembali pada pertengahan September lepas.
Peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang mengandungi enam perlawanan kini dimainkan selama lapan minggu berbanding tempoh tiga bulan sebelumnya.
Sementara rehat antarabangsa Eropah menyaksikan tiga perlawanan diadakan pada September, Oktober dan November berbanding dua perlawanan.
Bagi pemain seperti bekas bek tengah Liverpool, Dejan Lovren, ia merupakan sesuatu yang mengarut.
Dalam satu ciapannya di Twitter, beliau berkata, “Terlalu banyak perlawanan, mustahil untuk pulih, bila anda tahu tahun ini memang pelik (Covid-19). Tiada cuti yang diatur, (saya cuma bercuti selama lapan hari) tiada pra-musim teratur dan jadual perlawanan yang gila.”
Pada Ahad lepas, Itali kehilangan 20 orang pemain gara-gara Covid-19, kecederaan atau masalah keletihan semasa berdepan Poland untuk perlawanan Liga Negara-Negara.

Sebelum ini, wujud solidariti dalam kalangan liga dan persatuan bola sepak kebangsaan bila UEFA bersetuju menangguhkan EURO 2020 selama setahun bagi memberi peluang kepada musim domestik ditamatkan.
Namun semua itu kini tidak terpakai apabila kelab-kelab bertegang urat dengan persatuan bola sepak kebangsaan tentang cara pengurusan pemain mereka.
Misalnya, Inter Milan bertelagah dengan Chile berikutan isu pengurusan kecergasan ayam tambatan mereka, Alexis Sanchez.
Sementara Spurs dan Jose Mourinho pula berang dengan sikap Gareth Southgate yang tetap menurunkan pemain mereka walaupun sudah menyatakan kebimbangan tentang tahap kecergasan mereka.
Tatkala kuasa besar bola sepak dan kelab-kelab gergasi menyumpah seranah tentang jadual perlawanan, sesetengah pula melakar kejutan sama ada di peringkat liga domestik atau kejohanan antarabangsa.
Southampton yang dahulunya menderita 9-0 di tangan Leicester City musim lepas kini menjadi pasukan pakej kejutan Liga Perdana Inggeris (PL) dan berada di kedudukan kelima.
Sementara Scotland, Macedonia Utara, Comoros Islands dan Equatorial Guinea pula melakar kejutan layak ke kejohanan benua masing-masing.
Bagi Baer-Hoffman, kuncinya ialah menjaga aspek kecergasan dan kebajikan pemain. Jika itu tidak terjaga, ia sudah pasti membawa kesukaran kepada pasukan dari segi komersial dan kesukanan.
Satu solusi yang dianggap realistik ialah mengehadkan jumlah perlawanan yang disertai pemain secara individu setiap musim dan memperkenalkan peraturan yang perlu dipatuhi untuk pra-musim serta pertengahan musim.
Hal ini demikian kerana berdasarkan data, sesetengah pemain beraksi sehingga 70 perlawanan semusim sedangkan bilangan yang sepatutnya disertai mereka ialah 50 perlawanan.
Tambah Baer-Hoffman lagi, “Pengurusan skuad dalam kalangan kelab-kelab kini berubah. Jika anda sebahagian daripada kelab-kelab elit, anda perlu mempunyai pemain yang lebih ramai dan itu bermakna lebih ramai pemain, lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi yang saya lihat sebagai positif.”
Cuma persoalannya, apakah persatuan bola sepak kebangsaan, persatuan bola sepak benua dan penyiar perlawanan boleh berkompromi dalam hal ini?
Bukan satu rahsia sebarang cubaan mengurangkan perlawanan akan dikenakan tindakan saman oleh penyiar kerana melanggar kontrak penyiaran.
Mungkin sudah tiba masanya pihak liga mendengar keluhan kelab-kelab yang terkesan demi menjaga kepentingan semua pemegang taruh.
Apalah guna mendapat duit berkoyan-koyan hasil penyiaran perlawanan tetapi yang merana pada akhirnya ialah kelab-kelab dan para pemain.
Oleh: Moustapha Abbas
Sumber
Reuters. (2020). ‘Crazy schedule’: Footballers stretched to the limit by fixture overload. Free Malaysia Today. Dipetik daripada https://www.freemalaysiatoday.com/…/crazy-schedule…/
Reuters. (2020). Klopp blasts broadcasters over hectic match schedule. Free Malaysia Today. Dipetik daripada https://www.freemalaysiatoday.com/…/klopp-blasts…/