Bila sudah bergelar pemain hebat, mudah bagi seseorang itu hanyut dibuai kemewahan dan kemahsyuran. Tetapi itu tidak berlaku kepada penyerang Liverpool dan Senegal Sadio Mane. Baginya, kekayaan yang dianugerahkan Allah s.w.t kepadanya dilihat sebagai cara untuk membantu orang lain.
Tidak kiralah dari membina infrastruktur asas di kampung halamannya di Bambali atau membantu membayar kos rawatan seorang kanak-kanak semasa Kejohanan Negara-Negara Afrika, ia jelas memperlihat keperibadiannya yang mulia.
Bagi para penyokong, mereka masih ingat temubualnya dengan akhbar Sepanyol, AS pada 2019. Dalam temubual tersebut, Mane memberitahu beliau pernah hidup susah, bekerja pada usia muda untuk menyara kehidupan dan tidak mendapat peluang pendidikan normal. Justeru, baginya, kemewahan yang diraih bukanlah lesen untuk menayangkannya kepada semua orang.
Tidak ramai tahu Mane memberi 70 euro (RM334) sebulan kepada setiap individu di wilayah termiskin Senegal. Dengan pemberian tersebut, mereka dapat membantu ekonomi keluarga di wilayah berkenaan.
Tetapi perjalanan bergelar pemain EPL di Southampton dan Liverpool sebenarnya bermula bukan di kelab pertama Mane, Metz. Tetapi ia bermula di akademi Generation Foot di Dakar, Senegal. Justeru, Mane yang ditemani bapa saudaranya melakukan perjalanan sejauh 500 batu bagi menghadiri sesi percubaan setiap akademi bola sepak di sana termasuk Generation Foot.
Satu perkara melucukan semasa beliau tiba di satu sesi percubaan ialah persepsi pertama orang terhadapnya. Dengan pakaian yang lusuh termasuk but bola yang koyak, ada menganggap kehadirannya hanya sekadar melengkapkan bilangan pemain yang hadir. Tetapi selepas melihat bakat Mane di atas padang, itu sudah cukup untuk menyakinkan mereka menyertai akademi.
Selepas menyertai Generation Foot, Mane tinggal bersama seorang rakan keluarga sebelum menyertai Metz pada 2011. Dan selepas itu, semuanya menjadi sejarah. Menariknya, salah seorang rakan akademi Mane di situ ialah pemain sayap Watford Ismaila Sarr.
Mungkin itu menjelaskan apabila kedua-dua pasukan bertemu di Anfield pada 2019, Mane sempat berjumpa dengan kapten Hornets ketika itu, Troy Deeney. Satu saja permintaan beliau kepada Watford iaitu memastikan kebajikan rakannya terpelihara dan diberi peluang sebaiknya.
Mane bukan kapten Senegal. Tetapi kepimpinan senyapnya itu banyak membantu bukan saja kepada negaranya tetapi juga untuk Liverpool.