Semua maklum dengan kekuatan kewangan pasukan Formula Satu yang berbeza, ia mengakibatkan ketidakseimbangan persaingan antara semua pasukan termasuk pasukan kecil.

Isu sebegini mengakibatkan banyak pasukan yang dibubarkan atau diambil alih kerana tidak dapat menampung kos kewangan yang semakin meningkat.

Advertisement

Justeru, tidak hairanlah banyak pasukan termasuk pasukan besar seperti Ferrari dan Mercedes bersetuju had perbelanjaan diperkenalkan bagi menyamakan lapangan persaingan sesama pasukan.

Kini, satu lagi idea ditimbulkan iaitu meletakkan had gaji bagi pemandu pasukan.

Bagi juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton, walaupun beliau tidak menolak pengenalan had tersebut, beliau berharap ia sama sekali tidak menjejaskan kemasukan pelumba-pelumba baru dalam dunia F1.

Dalam satu temubual menerusi sidang video selepas perlumbaan Grand Prix Bahrain, Hamilton berkata, “Saya secara peribadi tidak menolak. Tetapi saya memikirkan pelumba-pelumba pelapis dan bakat baru yang akan memasuki dunia F1, saya melihat mereka tidak sepatutnya dikenakan had sebegini sekiranya mereka membawa impak besar kepada sukan ini.”

Ketika ini, semua pasukan bersetuju meletakkan had perbelanjaan sebanyak AS$145 juta untuk perbelanjaan keseluruhan pasukan pada tahun hadapan.

Ianya disusuli dengan pengurangan sebanyak AS$5 juta lagi pada tahun 2022. Begitupun, had gaji bukan sebahagian daripada rancangan tersebut dengan banyak perkara yang perlu dihalusi.

Pada Oktober lepas, satu cadangan had gaji pemandu dibawa ke pengetahuan Suruhanjaya Formula Satu untuk diteliti.

Mengikut cadangan tersebut, had gaji ini akan diperkenalkan pada tahun 2023 tetapi ditolak oleh pihak suruhanjaya. Hamilton melihat satu perkara yang akan menjadi pertikaian: hak imej pemandu.

“Jika anda melihat sukan-sukan lain, terdapat had gaji dalam sukan-sukan berkenaan. Saya fikir satu perbezaan di sini ialah dalam sukan-sukan ini, individu-individu mempunyai imej mereka dalam banyak perkara, mereka boleh meningkatkan lagi pendapatan mereka. Tetapi di F1, sukan ini mengawal keseluruhan hak imej pemandu,” ujarnya.

Pemandu berusia 35 tahun itu kini meraih pendapatan sebanyak £40 juta (RM218 juta) dan sedang merunding kontrak baru bersama Mercedes.

Tambah Hamilton lagi, bintang sebenar sukan ini ialah pelumbanya dan itu harus diiktiraf oleh F1.

Nama-nama legenda seperti Michael Schumacher, Aytron Senna dan Hamilton yang melonjakkan dunia permotoran ini ke tahap tertinggi.

“Ini merupakan sukan bernilai berbilion-bilion dolar dan mereka seharusnya diberi ganjaran atas apa yang mereka lakukan,” katanya.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Takle, A. (2020). F1 driver salary cap should not handicap sport’s top talent, says Hamilton. Reuters.

Comments