Pengaruh Evangelis Dalam Pasukan Brazil

Normal dalam mana-mana pasukan, setiap pemain mempunyai latar belakang agama berbeza. Tetapi jika anda memerhati dengan lebih dekat kebanyakan pemain kebangsaan Brazil seperti Alisson, mereka mempunyai latar belakang evangelis.

Evangelis ialah satu pergerakan dalam Gereja Protestan – minoriti dalam negara di mana majoriti penduduk Brazil berfahaman Roman Katolik. Bagaimanapun, pada 2021, bilangan pengikut evangelis kini sekitar 31% berbanding 50% pengikut Roman Katolik. Jika trend ini berterusan, kelompok evangelis ini bakal menjadi kelompok majoriti di Brazil.

Advertisement

Pergerakan ini dikatakan bermula sekitar tahun 80-an. Antara yang aktif mempromosikan evangelis ialah penjaga gol Atletico Mineiro ketika itu, Joao Leite. Pada awalnya, beliau suka meletakkan slogan ‘Jesus Saves’ pada jersi pasukannya. Tetapi ia tidak bertahan lama selepas Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) mengenakan larangan tiada slogan diletakkan pada jersi. Sekiranya Leite enggan tunduk, Mineiro bakal dikenakan hukuman pemotongan mata.

Lantas, alternatif Leite dalam menggerakkan aktiviti evangelisnya ialah memberi Bible kepada pemain lawan sebelum perlawanan bermula. Malah, bekas bek kanan Bayer Leverkusen Jorginho turut membuat perkara sama sebelum berhijrah ke Bayern Munich pada 1992.

Imej evangelis mula menonjol selepas enam pemain Brazil yang berfahaman sedemikian membantu Selecao bergelar juara dunia pada 1994. Pada final Piala Dunia antara Brazil dan Itali, Brazil menang hasil penentuan sepakan penalti. Penalti Itali yang disempurnakan Roberto Baggio berjaya dinafikan jurulatih Alisson di Liverpool sekarang, Taffarel.

Sebaik melihat penalti penyerang legenda Itali itu dinafikan, lima pemain termasuk Jorginho membentuk bulatan di tengah padang dan memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan. Sementara Taffarel pula meraikan kemenangan Selecao dengan menunjukkan tangan ke arah langit. Ramai evangelis menyifatkan fahaman tersebut sebagai punca kemenangan Piala Dunia Brazil buat kali keempat.

Alasan sama turut digunakan bagi menjustifikasi kemenangan Piala Dunia 2002 dan Piala Konfederasi 2009. Semasa Selecao menjulang kejuaraan dunia buat kali kelima, trio Lucio, Kaka dan Edmilson akan berkumpul dan memanjatkan doa kepada Tuhan.

Tetapi kemenangan Piala Konfederasi 2009 dianggap kontroversi. Selepas menang ke atas Denmark, pegawai dan pemain pasukan Denmark berang selepas melihat sesetengah pemain seperti Lucio menayangkan slogan-slogan seperti ‘I love God’ dan ‘I belong to Jesus’. Akibatnya, CBF diberi surat amaran oleh FIFA termasuk ingatan peraturan larangan mengenakan slogan pada jersi.

Perlahan-lahan, pengaruh evangelis mula dirasai dalam pasukan Brazil. Jika dahulu, evangelis tidak dibenarkan mendekati pasukan. Tetapi hari ini, ada yang menjadi sebahagian daripada rombongan pemain tertentu dan mendapat sumbangan daripada mereka. Dan ini mula menjejaskan perpaduan dalam kalangan pemain.

Contoh paling mudah, Piala Dunia 2010. Ramai berharap kelibat Ronaldinho yang ketika itu beraksi bersama A.C. Milan kembali ke Selecao. Tetapi nama beliau tidak terpilih. Selepas Brazil kalah di peringkat suku akhir di tangan Belanda, wujud dakwaan penganalisis pasukan disingkirkan dan digantikan dengan penganalisis yang berfahaman evangelis.

Pada 2015, ketua keselamatan Selecao dipecat oleh CBF. Ini selepas dia membenarkan seorang pastor evangelis mengadakan program bersama beberapa pemain kebangsaan tanpa pengetahuan pengurus Brazil ketika itu, Dunga.

Pengaruh evangelis bukan saja kuat dalam pasukan bola sepak, malah dapat dirasai di peringkat politik. Presiden Jair Bolsonaro yang mempunyai pendirian pelampau berhaluan kanan mendapat sokongan 70% komuniti evangelis termasuk pemain seperti Neymar dan Rivaldo semasa pemilihan presiden pada 2018.

Ramai orang merasa bimbang dengan kemunculan kelompok evangelis, ia bakal mengancam keharmonian dan kebebasan agama yang dinikmati di Brazil ketika ini. Ini termasuk agama yang jarang didengar seperti Candomble. Agama yang dipercayai berasal dari Afrika ini sudah lama dipraktikkan di Brazil tetapi dipandang serong evangelis sebagai agama syaitan. Antara penganutnya yang terkenal ialah penyerang Bayer Leverkusen, Paulinho.

Comments