Di sebalik kegusaran orang ramai bahawa Sukan Olimpik 2021 Tokyo patut dibatalkan, kerajaan Jepun memilih untuk meneruskan penganjurannya.

Bagi menjayakan usaha itu, Tokyo melancarkan kempen pemvaksinan berskala besar untuk seluruh rakyatnya pada Mei ini. Langkah ini dibuat selepas pemvaksinan untuk golongan berisiko selesai dijalankan.

Advertisement

Menerusi langkah ini, kerajaan berharap semua orang dewasa Jepun sudah mendapat suntikan vaksin Covid-19 menjelang Julai hadapan, bulan sama temasya Sukan Olimpik 2021 diadakan.

Bagi membolehkan 126 juta warganya mendapat vaksin, Jepun telah membeli vaksin daripada Pfizer/BioNTech dan meluluskan penggunaannya di negara itu bermula bulan hadapan.

10,000 kakitangan perubatan bakal menjadi kelompok pertama mendapat suntikan vaksin yang diberi percuma oleh kerajaan.

Ianya disusuli oleh 50 juta warganya yang dikelaskan sebagai golongan berisiko termasuk berstatus warga emas.

Sukan Olimpik 2021 akan dilangsungkan dalam tempoh enam bulan tetapi pertambahan kes Covid-19 di seluruh dunia termasuk Jepun mula mencetuskan persoalan sama ada ia boleh dilangsungkan atau tidak.

Berdasarkan tinjauan pendapat yang dijalankan beberapa minggu lepas, 80% responden melihat temasya ini harus dibatalkan demi menjaga keselamatan dan kesihatan warga Jepun.

Dalam satu tinjauan pendapat yang lain, hanya 60% responden bersetuju menerima vaksin, jauh lebih rendah berbanding 80% (China), Korea Selatan (75%) dan Amerika Syarikat (69%).

Dengan kadar sebegini, ia sudah pasti memperlahankan usaha vaksinasi di seluruh negara.

Bagi meraih keyakinan orang ramai, Perdana Menteri Yoshihide Suga bersedia menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin Pfizer/BioNTech itu.

Bagaimanapun, dengan meneliti sentimen orang ramai dan bilangan kes Covid-19 di Jepun, seorang pakar kesihatan menasihatkan kerajaan agar mempertimbang semula keputusan penganjuran Sukan Olimpik 2021.

Kentara Iwata dari Universiti Kobe menyifatkan penganjuran Sukan Olimpik 2021 sebagai berisiko kerana ia berpotensi meningkatkan lagi risiko jangkitan bukan saja dalam kalangan atlet dan pegawai tetapi juga warga Jepun sendiri.

Iwata yang mula dikenali selepas mengkritik langkah kuarantin yang dilaksanakan Tokyo terhadap kapal persiaran Diamond Princess pada Februari tahun lepas turut menyelar sikap tidak bertanggungjawab penganjur.

Hal ini demikian kerana tindakan Jepun yang mahu meneruskan penganjuran kerana tidak mahu menanggung kerugian kewangan diibaratkan seperti kaki judi yang terus bertaruh untuk mendapatkan wang pertaruhannya semula.

Bagi Profesor Koji Wada dari Universiti Kesihatan dan Kebajikan Antarabangsa Tokyo, sebarang usaha penganjuran perlu bergantung bukan saja kepada bilangan kes Covid-19 di Jepun tetapi juga usaha pemvaksinan di seluruh dunia.

Jika penganjuran diteruskan sekalipun, sukan yang memerlukan sentuhan seperti judo dan gusti memerlukan SOP lebih ketat termasuk pengujian yang lebih kerap dan penjagaan kebersihan berbanding acara-acara sukan lain.

Tambahnya lagi, bilangan peserta, penonton dan acara yang dianjurkan juga perlu dikurangkan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Situasi ini sekaligus menyebabkan sebarang usaha pengajuran berskala besar seperti sebelum ini dianggap mustahil untuk dilakukan.

SUMBER

AFP. (2021). Japan plans wide-scale Covid jabs ahead of Olympics.

Tarrant, J. (2021). Tokyo Olympics may be too big a gamble, says disease expert. The Independent.

Comments