Awal pagi tadi telah berlangsung perlawanan suku akhir keempat melibatkan England menentang Perancis.
Jika dilihat atas kertas, Perancis memiliki kelebihan selaku juara bertahan. Tapi rekod head to head pula menunjukkan England mencatatkan 17 kemenangan dalam 32 pertemuan dengan Perancis.
Ditambah lagi England diisi oleh pemain-pemain daripada kelab terhebat (baca kelakar) Liga Perdana Inggeris.
Bermula sahaja perlawanan, Perancis datang dahulu menerusi tandukan Oliver Giroud tetapi berjaya ditangkap kemas oleh Jordan Pickford.
Tak lama selepas itu, Aurelien Tchouameni berjaya menjaringkan gol lantas memberikan sedikit kelebihan kepada Perancis.
Tak boleh jadi ni, England terus lancarkan asakan bertali arus ke kubu Perancis. Sayangnya sia-sia sahaja. Tamat separuh masa pertama, Perancis mendahului England dengan jaringan 1-0.
Memasuki separuh masa kedua, Perancis tersentak apabila England dikurniakan sepakan penalti setelah Bukayo Saka dikasari oleh Aurelien Tchouameni. Harry Kane tiada masalah menyempurnakan penalti itu lantas menyamakan kedudukan.
Perancis apa lagi terus menyerang untuk memburu jaringan kemenangan. England sepatutnya boleh tambah gol kedua tetapi tandukan pemain paling hebat (kelakar) iaitu Harry Maguire sedikit tersasar.
Akhirnya Oliver Giroud memberikan kembali kelebihan kepada Perancis menerusi tandukan di minit ke-78.
Ketika menuju 10 minit terakhir perlawanan, England berpeluang menyamakan kedudukan dan mengheret permainana sehingga masa tambahan. Masalahnya boleh pula Harry Kane ni buat lawak pada masa-masa genting.
Sepakan penalti keduanya tinggi melewati palang gol lantas membuatkan England kempunan untuk ke separuh akhir. Tamat perlawanan Perancis berjaya ke separuh akhir untuk bertemu dengan Maghribi.
Kesian kepada bola sepak sebab sampai ke sudah tak dapat pulang kembali ke rumahnya di England.