Setiap atlet pasti mahu mempersiapkan diri dengan latihan mencukupi sebelum bermulanya kejohanan yang ingin disertai.

Rutin harian dengan melakukan latihan fizikal akan menjadi perkara paling asas sekali. Selalunya, latihan fizikal bertujuan untuk meningkatkan kualiti teknikal seseorang atlet.

Advertisement

Walau bagaimanapun, pemakanan juga perlu diambil berat kerana hal ini akan menentukan prestasi atlet itu.

Atlet perlu merangka sistem pemakanan sebelum, semasa dan selepas kejohanan. Tiga peringkat ini demi menjaga prestasi dan kesihatan atlet itu sendiri.

Fasa sebelum kejohanan, atlet perlu mengambil makanan berkarbohidrat tinggi.

Ini kerana semasa melakukan aktiviti sukan nanti, tenaga akan diambil dari karbohidrat dahulu sebelum di bahagian lemak kerana tenaga melalui karbohidrat lebih mudah diproses.

Tambahan lagi, jumlah oksigen yang minima sahaja diperlukan ketika memproses tenaga dari karbohidrat. Otot otot akan menyimpan sumber tenaga seperti glikogen untuk pemprosesan tenaga.

Kebiasaannya, atlet akan mengambil nasi dan buah buahan tiga ke empat jam sebelum bermula pertandingan.

Karbohidrat jika diambil secara berlebihan sebelum bermula aktiviti akan mengakibatkan atlet berisiko mengalami kecederaan kerana perut yang penuh.

Selain itu, minuman bergas atapun susu sangat kurang digalakkan untuk diambil kerana sukar untuk dihadam.

Fasa ketika kejohanan, atlet biasanya akan mengambil minuman berkabohidrat ataupun makanan bersumberkan protin.

Jurang setiap 15 minit akan menjadi penanda untuk atlet mengambil makanan dan minuman.

Hal ini demikian kerana, jangka masa pertandingan yang memakan masa agak lama akan mengakibatkan atlet kehilangan sumber air dan sumber mineral.

Air dan mineral akan mula berkurangan dalam badan kerana apabila badan mula berpeluh dan dari situlah dua sumber akan hilang dalam badan.

Kurangkanya kapasiti darah akan menyebabkan jantung perlu mengepam dengan lebih kuat sekaligus menyebabkan banyak tenaga akan digunakan.

Salah satu pendekatan yang boleh dilakukan oleh atlet ialah sentiasa memastikan badan mempunyai air yang cukup.

Atlet dinasihatkan untuk meminum air sejuk kerana akan lebih memudahkan sistem penyerapan berlaku di organ penghadaman.

Fasa selepas pertandingan adalah fasa yang amat penting untuk memastikan tiada kecederaan yang akan berlaku.

Dua jam selepas pertandingan, atlet perlu mengambil makanan seperti nasi, roti, daging untuk mengganti semula nutrien yang telah keluar semasa berlangsungnya kejohanan.

Atlet tidak digalakkan untuk mengambil vitamin tambahan kerana pada fasa ini mengambil makanan yang seimbang harus menjadi keutamaan.

Setiap fasa ini akan menjadi tonik tambahan untuk atlet meningkatkan prestasi kerana pemakanan yang betul akan memberi impak kepada persembahan pemain.

Walaupun pada ketika ini, sistem pemakanan tidak menjadi norma dalam industri sukan kita, tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa sistem pemakanan yang betul akan memberi impak positif kepada persembahan atlet.

#iSportsAsia

Oleh: AmTuah

Comments