Pemain Turki Enggan Sarung Baju Anti-Perang Rusia-Ukraine

Sejak krisis Ukraine-Rusia tercetus lebih seminggu sebelumnya, banyak acara sukan menunjukkan solidariti kepada Ukraine dan menggesa konflik kedua-dua pihak dihentikan. Ini termasuk memakai baju anti-perang sebelum perlawanan bola sepak bermula.

Tetapi bagi Aykut Demir, memakai baju tersebut bukan satu pilihan. Ini dapat dilihat sebelum perlawanan divisyen kedua Turki antara kelabnya Erzurumspor dengan Ankaragucu. Tatkala semua pemain memakai baju mesej anti-perang dalam Bahasa Inggeris dan Turki, Demir memilih untuk tidak menyarungnya.

Advertisement

Bila ditanya tentang keputusannya itu oleh agensi berita Anadolu, ia disebabkan oleh sikap pilih kasih pihak berkuasa bola sepak terhadap situasi kemanusiaan di Timur Tengah. Jika sukan boleh menunjukkan solidariti untuk konflik di Ukraine, mengapa mereka tidak melakukan perkara sama untuk tempat konflik lain seperti Palestin, Yaman, Syria, Iraq dan Afghanistan.

Demir bukan satu-satunya figura yang mempersoal sikap pilih kasih FIFA. Legenda Mesir Mohamed Aboutrika turut mengatakan perkara sama selepas organisasi itu menggantung keahlian Rusia susulan konflik Ukraine-Rusia.

Menerusi ciapannya di Twitter, sekiranya Rusia boleh dikenakan penggantungan, maka alasan sama patut digunakan untuk menggantung Israel. Ini kerana rejim telah menduduki tanah Palestin selama bertahun-tahun dan membunuh orang tidak berdosa tanpa belas kasihan.

Aboutrika mempunyai sebab kukuh mempersoal sikap pilih kasih FIFA. Pada 2008, beliau diberi amaran oleh FIFA selepas menayangkan slogan ‘Simpati Untuk Gaza’ semasa Kejohanan Negara-Negara Afrika tahun sama. Pada tahun tersebut, rejim Israel mengenakan sekatan ke atas Semenanjung Gaza dan ia masih berlaku sehingga hari ini.

Sementara pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menyelar pendirian pilih kasih Bundesliga. Ini dinyatakan dalam satu komen baginda di Instagram liga Jerman itu.

Comments