Tidak lama dahulu, semasa Malaysia mempertimbang idea membawa masuk pemain naturalisasi beraksi bersama pasukan kebangsaan, langkah tersebut mendapat bantahan ramai termasuk bekas pemain kebangsaan.

Mereka merasakan dengan membawa pemain-pemain ini masuk, ia akan membunuh peluang pemain yang beraksi di liga domestik mengecap impian beraksi bersama Harimau Malaya.

Advertisement

Namun siapa sangka, kelibat pemain yang dipandang sinis seperti Mohammadou Sumareh sebenarnya menambah kualiti dalam pasukan.

Sejak itu, pihak lawan yang menjangkakan pasukan negara sebagai ‘lauk’ kini berfikir panjang sehingga ke satu tahap menghantar pengintip untuk mengetahui kekuatan pasukan.

Kredit: New Straits Times

Atas sebab itulah, mengapa bekas jurulatih Juventus dan China Marcello Lippi mempertahankan tindakannya membawa masuk pemain naturalisasi sebagai pemain kebangsaan China kerana dilihat boleh mengukuhkan pasukan untuk jangka masa panjang.

Lippi tidak asing dengan negara Tembok Besar itu kerana pernah menjadi jurulatih mereka sebanyak dua kali dari Oktober 2016 hingga November tahun lalu.

Dalam satu temubual bersama Tencent Sport, beliau berkata, “Saya percaya pemain naturalisasi boleh membantu mana-mana pasukan kebangsaan.

Semua pemain yang mempunyai latar belakang keluarga atau keturunan di China di seluruh dunia boleh mengukuhkan pasukan kebangsaan dengan memanfaatkan kemahiran dan pengalaman yang dipelajari di Eropah.

“Mereka merupakan pemain penting dalam pasukan dan mampu memberi sumbangan. Saya rasakan ia sesuatu yang tidak adil untuk mengetepikan mereka.” Mengikut peraturan FIFA, pemain yang tidak mempunyai latar belakang keluarga atau lahir di sesebuah negara spesifik perlu tinggal di negara yang diwakili sekurang-kurangnya lima tahun.

Hal ini mendorong kelab-kelab besar China memburu pemain yang ada latar belakang China atau pemain import yang ada potensi naturalisasi dan belum dipanggil oleh mana-mana pasukan kebangsaan. Sejak layak kali terakhir ke Piala Dunia 2002 di bawah bimbingan Bora Milutinovic, China sudah pasti mahu memastikan penampilan sulung mereka itu bukan penampilan terakhir di Piala Dunia.

Bermula pada tahun 2019, bekas pemain remaja England Nico Yennaris merupakan pemain China berpangkalan di luar negara pertama dipanggil menyertai pasukan kebangsaan. Ianya disusuli oleh Elkerson (Ogos 2019) dan pemain sayap Guangzhou Evergrande, Fernandinho awal bulan ini.

Begitupun, Lippi menambah tidak wujud risiko China bakal membawa kesebelasan utama terdiri daripada pemain-pemain naturalisasi.

Ianya berdasarkan kebimbangan yang disuarakan persatuan bola sepak China yang tidak mahu terlalu ramai pemain naturalisasi dalam pasukan kebangsaan.

Beliau melihat hasil pelaburan untuk projek pembangunan akar umbi dijangka bakal menjadikan China setaraf dengan Jepun dan Korea Selatan.

“China melakukan tugas yang cemerlang dari segi pembangunan bola sepak. Saya pernah mencadangkan lebih banyak pelaburan untuk pembangunan bola sepak remaja. Ia dilihat dapat mewujudkan lebih ramai pemain berkualiti pada masa akan datang,” katanya.

#iSportsAsia

Oleh: Moustapha Abbas

Sumber

Reuters. (2020). Ex-coach Lippi says ‘naturalisation can help’ China’s national team. Free Malaysia Today. Dipetik daripada https://www.freemalaysiatoday.com/…/ex-coach-lippi…/

Comments