Satu kajian dari Universiti Glasgow mendapati bekas pemain bola sepak lebih berkemungkinan mengalami pelbagai jenis penyakit neurologi termasuk dementia.

Kajian julung kali ini juga mendedahkan kaitan antara sukan bola sepak dengan kerosakan bahagian otak.

Advertisement

Kajian yang dibuat selama 22 bulan itu mendedahkan bekas pemain mempunyai kemungkinan tiga kali ganda menghidap dementia, Alzheimer (kemungkinan lima kali ganda), penyakit neuron moto (kemungkinan empat kali ganda) dan Parkinson (kemungkinan dua kali ganda).

Kesimpulan ini dibuat selepas membandingkan 7,676 kematian membabitkan bekas pemain dengan 23,000 kematian orang awam.

Sampel kajian diambil daripada bekas pemain profesional yang beraksi di Scotland antara 1900 hingga 1976.

Bagaimanapun, bekas pemain kurang berkemungkinan kembali ke negeri cacing akibat penyakit biasa seperti sakit jantung dan sesetengah penyakit kanser.

Laporan tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada kemungkinan penyakit otak yang lebih tinggi itu berpunca sama ada konkusi berterusan, menanduk bola yang diperbuat daripada kulit atau faktor-faktor lain.

Namun bagi keluarga bekas penyerang West Bromwich Albion, mendiang Jeft Astle, pendedahan tersebut dianggap satu kejutan besar kepada mereka kerana skala masalah yang dihadapi jauh lebih berat daripada disangka.

Isu ini semakin mendapat perhatian apabila ramai bekas pemain yang meninggal dunia sama ada akibat Alzheimer atau dementia.

Terbaru, legenda Manchester United Nobby Stiles kembali ke negeri cacing pada 30 Oktober lalu selepas menderita dementia dan kanser prostat.

Stiles menyertai senarai bekas pemain yang meninggal dunia atau menderita penyakit neurologi akibat menanduk semasa karier mereka.

Selain beliau, bekas pemain dan legenda lain yang tersenarai ialah Charlton bersaudara iaitu mendiang Jack Charlton (Leeds United) dan Sir Bobby Charlton (Manchester United), mendiang Willie Maddren (Hull City), mendiang Bill Gates (Middlesbrough), Mike Sutton (Norwich) dan pengurus legenda Liverpool, Bob Paisley.

Isu ini bukan sekali dibangkitkan oleh ramai waris bekas pemain tetapi seolah-olah dipandang sepi oleh Persatuan Bola Sepak (FA) dan Persatuan Pemain Profesional (PFA) selama bertahun-tahun. Namun semua itu berubah selepas laporan kajian yang diketuai Dr Willie Stewart yang dibentangkan pada tahun 2019.

Kebimbangan isu neurologi yang membelenggu bekas pemain nyata mengundang kebimbangan ramai pihak termasuk pengurus-pengurus pasukan Liga Perdana Inggeris (PL).

Pengurus West Ham, David Moyes cenderung melihat pemain hari ini membuat pemeriksaan berkala bagi membolehkan sebarang diagnosis dapat dikesan dengan lebih awal.

Bagi jurulatih legenda Itali yang kini menguruskan Everton, Carlo Ancelotti, beliau juga berdepan kebimbangan mengalami dementia atau penyakit neuron motor berikutan rawatan yang diterimanya semasa bermain.

Ancelotti yang pernah menjulang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama AC Milan merupakan jeneral tengah Rossoneri pada akhir tahun 80-an mengakui menjalani pemeriksaan setiap tahun sekiranya ada penyakit berkait dengan karier permainan lamanya.

Sementara bagi bekas bek tengah Manchester United Gary Pallister, beliau mengakui sudah mula berdepan isu sakit kepala teruk dalam karier permainannya.

Kini, beliau bukan saja mengalami sakit kepala tetapi mula bimbang berdepan isu kehilangan memori.

Hal itu membuatkan Pallister tertanya-tanya apakah beliau akan mengalami nasib sama seperti Stiles dan Sir Bobby.

Terdapat banyak aspek yang dijangka berubah akibat pendedahan laporan mengejutkan ini.

Pertama, ramai bekas pemain mahukan aktiviti menanduk bola tidak dibenarkan di peringkat pasukan remaja dan akademi.

Bagi bekas pemenang Piala Dunia 1966 Sir Geoff Hurst, ia dilihat satu langkah tepat bagi membantu mengurangkan risiko penyakit neurologi dalam sukan bola sepak.

Ketika ini, kanak-kanak berusia 11 tahun ke bawah diajar untuk tidak menanduk bola semasa bermain dan berlatih di England, Scotland dan Ireland Utara. Perkara sama turut dilaksanakan di Amerika Syarikat sejak tahun 2015.

Kedua, sekiranya lebih banyak laporan kajian menyokong kajian Dr Stewart bahawa penyakit neurologi dikelaskan sebagai penyakit sukan bola sepak oleh Majlis Penasihat Kecederaan Industri (IIAC), ia membolehkan bekas pemain bukan saja menuntut pampasan daripada FA.

Malah, mereka juga berpeluang mendapat bantuan kebajikan OKU daripada pihak kerajaan.

Saranan ini dibuat saintis neurologi Dr Michael Grey yang kini sibuk dengan projek penyelidikan dementia dengan bekas pemain Crystal Palace, Mark Bright dan bekas pemain Norwich, Jeremy Goss.

Ketiga, desakan agar penggantian pemain akibat konkusi dibenarkan. Ketika ini, IFAB bersetuju memperkenalkan penggantian pemain akibat konkusi secara ujian pada pertengahan musim ini sebelum dikuatkuasakan pada musim hadapan.

FA dan PL mahu mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum melaksanakan fasa ujian pada musim 2021-2022.

Hal ini demikian kerana terdapat banyak halangan yang perlu diatasi sebelum ia diperkenalkan.

Antara halangan yang dijangka timbul ialah kerangka undang-undang bola sepak yang perlu dipinda, merekrut lebih ramai kakitangan perubatan terutama yang mempunyai latar belakang neurologi dan cabaran logistik.

Jika semua ini tidak dapat diselesaikan, maka pengenalan penggantian pemain akibat konkusi hanya akan dapat disaksikan pada musim hadapan.

Dengan situasi menyedihkan yang membelenggu bekas pemain yang bertaraf legenda di Eropah ini, ia membuatkan penulis tertanya-tanya apakah perkara sama turut menimpa legenda-legenda bola sepak negara yang menjadi pujaan sehingga hari ini.

Jika perkara ini benar-benar menimpa mereka, maka amatlah sedih melihat pemain yang dahulunya dipuja tetapi kini terbiar dan perlu menanggung derita secara bersendirian.

#iSportsAsia

Oleh: Mosutapha Abbas

Sumber

BBC. (2019). Dementia in football: Ex-players three and a half times more likely to die of condition. Dipetik daripada https://www.bbc.com/sport/football/50124102

BBC. (2020). Football and dementia: Steve Bruce says there is a ‘genuine concern’ about possible link. Dipetik daripada https://www.bbc.com/sport/football/55007926

Bull, A. (2020). Families of Jack Charlton and Nobby Stiles back new concussion campaign. The Guardian. Dipetik daripada https://www.theguardian.com/…/families-of-jack-charlton…

Herbert, I. (2020). Battle to get brain injury among footballers recognised as an industrial disease – which would mean affected players being able to claim state disability benefits – is realistic, says expert. Dipetik daripada https://www.dailymail.co.uk/…/Industrial-disease-status…

Hunter, A. (2020). Ancelotti backs dementia research and reveals motor neurone disease fear. The Guardian. Dipetik daripada https://www.theguardian.com/…/ancelotti-backs-dementia…

Ingle, S. (2019). Landmark study reveals link between football and dementia. The Guardian. Dipetik daripada https://www.theguardian.com/…/landmark-study-reveals…

Keegan, M. (2020). ‘When you forgot you’ve driven the car, you do wonder’: He’s just 55, but ex-Manchester United colossus Gary Pallister describes his fears about his memory lapses… and scary migraines. Daily Mail. Dipetik daripada https://www.dailymail.co.uk/…/Ex-Manchester-United…

MacInnes, P. (2020). Clubs may need to hire neurologists as part of plans to combat concussion. The Guardian. Dipetik daripada https://www.theguardian.com/…/clubs-may-need-to-hire…

Comments