Pelumba MotoGP, Hafizh Syahrin Sertai Perlumbaan Kereta di Sepang Disember Depan

Hafizh mengambil keputusan itu, kerana mahu mengikut jejak langkah dua bekas juara MotoGP, Andrea Dovizioso dan Valentino Rossi

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi (lima, kanan) bergambar bersama Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Tan Sri Azman Yahya (empat, kanan), Ketua Eurosports Events Francois Ribeiro (empat, kiri), Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali (dua, kanan) dan para pelumba negara Hafizh Syahrin Douglas Khoo dan Mitchell Cheah ketika Majlis Pra-Pelancaran FIM Endurance World Championship (EWC) dan FIA World Touring Car Cup (WTCR) 2019 .-BERNAMA

Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah bakal mencipta sejarah muncul pelumba pertama yang akan beraksi dalam dua perlumbaan berprestij iaitu FIA World Touring Car Cup (WTCR) dan Endurance World Championship (EWC) 8 jam di Litar Antarabangsa Sepang pada 13-15 Disember nanti.

Menggunakan format yang sama seperti pelumbaan Suzuka 8 Jam, EWC mungkin bukan sesuatu yang baru untuk Hafizh dan dia dijangka mampu mengendalikan jentera dengan baik.

Namun WTCR cukup berbeza untuknya kerana perlumbaan itu membabitkan jentera empat roda dengan konsep perlumbaan yang singkat dan pantas.

Hafizh mengambil keputusan itu, kerana mahu mengikut jejak langkah dua bekas juara MotoGP, Andrea Dovizioso dan Valentino Rossi yang juga pernah menyertai perlumbaan empat roda sebelum ini.

Penyertaan Hafizh dalam kedua-dua perlumbaan berprestij itu boleh diibaratkan sebagai ‘kerja gila’, malah dia sendiri mengakui tidak mempunyai pengalaman berlumba kereta di dalam litar.

“Saya mahu mencuba sesuatu yang baru, WTCR ini pernah disertai Dovizioso dan Rossi (dalam siri lain) sebelum ini. WTCR sangat terkenal di Eropah dan buat pertama kali di anjurkan di Asia.

“Saya sentiasa mempunyai minat terhadap kereta tetapi saya tidak pernah berlumba di litar sebelum ini kecuali motor. Jadi saya perlu bekerja keras untuk melakukan persediaan sebelum perlumbaan kerana saya akan bersaing dengan beberapa pemandu yang sangat baik.

“Dua perlumbaan ini akan memberi saya satu pengalaman yang cukup manis. Perlumbaan ini sangat sengit kerana 20 pemandu teratas hanya berbeza satu saat antara satu sama lain, ia seperti perlumbaan Moto2.

“Ia akan menjadi satu cabaran dan saya perlu belajar dengan cepat kalau boleh tidak mahu menamatkan perlumbaan di tempat terakhir. Saya akan terlibat dalam ujian dengan pasukan WTCR pada November ini dan akan mendapatkan beberapa tip dari pemandu kami seperti Mitchell, Jazeman Jaafar dan Nabil Jeffri,” katanya dalam majlis pelancaran perlumbaan WTCR dan EWC, di sini hari ini.

EWC akan berlangsung pada 14 Disember manakala WTCR sehari selepas itu sekali gus tanggungjawab cukup besar dipikul oleh Hafizh yang memerlukan kecergasan dari segi mental dan fizikal.

“Saya harap dapat melakukan persediaan daripada sekarang. Saya juga perlu pastikan dapat cergas sepenuhnya mental dan fizikal untuk kedua-dua perlumbaan itu.

Mengulas mengenai siapa yang bakal menjadi rakan sepasukannya dalam perlumbaan EWC, Hafizh mengakui belum mendapat maklumat tentang perkara berkenaan.

“Saya diberitahu ada dua atau tiga pilihan (pelumba) yang ada tetapi saya tidak pasti siapa yang akan menjadi rakan sepasukan saya,” jelasnya.

Beberapa pelumba MotoGP lain termasuk Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli juga dipercayai berminat untuk berlumba dalam perlumbaan 8 jam Sepang.

Comments