Semua maklum Arsenal patah hati lagi selepas tumbang 2-1 di tangan Wolvehampton Wanderers beberapa lepas dan tewas lagi hari ini kepada Tottenham Hotspur.
Namun keputusan perlawanan diselubungi dengan insiden dua pemain berlaga kepala dengan seorang pemain mengalami kecederaan serius.
Insiden yang dimaksudkan ialah insiden perlanggaran membabitkan penyerang Mexico, Raul Jimenez dengan bek tengah Brazil, David Luiz.
Insiden perlanggaran dua pemain ini mengakibatkan permainan yang baru saja bermula ditangguhkan selama 10 minit bagi membolehkan Luiz dan Jimenez mendapat rawatan.
Penyerang Mexico itu diberi gas oksigen semasa di atas padang sebelum dihantar ke hospital. Dari situ, beliau terpaksa menjalani pembedahan pada tengkoraknya yang retak dalam insiden tersebut.
Sementara Luiz pula walaupun diberi kebenaran meneruskan permainan, semua dapat melihat darah masih keluar pada balutan kepalanya.
Bagi mengelak insiden tidak diingini, bekas bek tengah Chelsea itu dikeluarkan pada rehat separuh masa pertama.
Situasi ini merupakan sekelumit daripada beberapa insiden pemain mengalami kecederaan tengkorak retak akibat berlaga kepala.
Antara pemain atau bekas pemain yang pernah berada dalam situasi ini ialah Petr Cech, Ryan Mason dan Ederson. Insiden sebegini menunjukkan lebih banyak perkara perlu dilakukan untuk mengelak insiden ini berulang.
Bagi Profesor Antonio Belli dari Universiti Birmingham, beliau mendapati protokol konkusi untuk sukan bola sepak dilihat terlalu cepat dan tidak menyeluruh.
Hal ini demikian kerana protokol sebegini tidak menyatakan sejauh mana tahap kecederaan kepala yang dialami pemain seperti sukan ragbi.
Protokol konkusi sukan ragbi ialah pemain yang disyaki mengalami kecederaan akan dibawa ke bilik perubatan dan menjalani pelbagai ujian termasuk ujian memori, keseimbangan dan fungsi neurologi.
Ujian sebegini mengambil masa 10 minit dan ia merupakan proses formal di mana pemeriksaan direkodkan dan disemak oleh panel bebas.
Proses tersebut akan diulangi bukan saja selepas perlawanan tetapi 36 jam dan 48 jam selepas insiden kecederaan kepala berlaku.
Dari situ, barulah pakar perubatan mengetahui tahap kecederaan kepala yang dialami pemain.
Atas sebab itulah, Prof Belli menyifatkan protokol sedia ada sebagai tidak mencukupi dan menggesa badan-badan berautoriti memperkenalkan penggantian konkusi.
Begitupun, keengganan FIFA serta badan penggubal peraturan bola sepak IFAB memperkenalkan terus penggantian konkusi dan lebih berminat menjalankannya dalam bentuk tempoh percubaan amat dikesali ramai pihak.
Bahkan persatuan pemain bola sepak dunia (FIFPro) memberi amaran perubahan drastik hanya akan dibuat sekiranya berlaku insiden tidak diingini di atas padang.
Pandangan pedas ini dilemparkan ketua pegawai perubatan FIFPro, Dr Vincent Gouttebarge yang menyifatkan FIFA dan IFAB berdolak-dalik dalam isu ini termasuk isu penggantian konkusi sama ada bersifat sementara atau kekal.
Permintaan FIFPro agar kecederaan kepala pemain dinilai oleh pakar bebas bagi memastikan keputusan tidak dipengaruhi sebab kesukanan juga dipandang sepi.
Oleh sebab itulah, semakin ramai pengurus dan legenda bola sepak menggesa penggantian konkusi diperkenalkan dengan segera.
Bagi penjaga gol Manchester City dan Brazil, Ederson pula, penggantian konkusi disifatkan sebagai satu keputusan bijak.
Beliau pernah mengalami kecederaan sebegitu rupa selepas berlaga dengan pemain Liverpool, Sadio Mane pada tahun 2017 menyifatkan bahagian kepala memerlukan penjagaan khas.
Jika itu tidak diambil berat, pemainlah yang akan merasa bahana di kemudian hari.
Bekas penyerang England, Alan Shearer mengingatkan badan-badan bola sepak agar memandang serius isu konkusi kerana ia membabitkan soal hidup dan mati pemain.
Legenda Newcastle United itu turut mempertikai keputusan Gunners membenarkan Luiz bermain hanya kerana melepasi protokol konkusi sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.
Justeru, Shearer menggesa badan-badan ini agar mengetepikan terus tempoh percubaan dan melaksanakannya dengan segera. Hal ini bagi memastikan kebajikan pemain sentiasa dipelihara.
Jika badan-badan ini tidak bertindak segera, maka mereka perlu bersedia dilabel dinosaur dunia sukan kerana berterusan meletakkan bola sepak sentiasa ketinggalan di belakang sukan-sukan lain.
Oleh: Moustapha Abbas
Sumber
BBC. (2020). David Luiz: Jurgen Klopp backs calls for concussion substitutes.
Walker, C. (2020). Pitch-side tests to assess players like Arsenal’s David Luiz are too ‘superficial’ to know if a player actually has a serious head injury, according to a leading brain surgeon who advises the FA and Premier League on concussion protocols. Daily Mail.
Coverdale, D. (2020). World players’ union FIFPro fear only a ‘high-profile case with very severe consequences’ will force football to change concussion approach and that additional permanent substitutes will ‘not solve the problem’. Daily Mail