Tahukah anda, Stadium Sultan Muhammad Keempat adalah padang bola sepak tertua di Malaysia. Padang ini mula digunakan serentak dengan penubuhan Kelantan Amatur Football Association (KAFA) pada tahun 1946. Ketika itu ianya dikenali sebagai Padang KAFA dan menjadi venue untuk pasukan Kelantan FA setiap kali beraksi.
Menjelang tahun 1965, kerajaan Kelantan telah mengambil keputusan untuk membina sebuah stadium di atas Padang KAFA bagi keselesan Kelantan FA dan kegunaan belia untuk beriadah. Selepas terbina sahaja stadium, nama Padang KAFA telah ditukar kepada Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Stadium itu seterusnya telah menjadi gelanggan keramat Kelantan FA ketika era kegemilangan pasukan itu. Malahan setiap pasukan yang berkunjung ke sana pasti akan gerun dengan sorakan padu peminat fanatik Kelantan. Mungkin atas sebab itu juga Malaysia pernah menjadikan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sebagai tuan rumah bagi aksi persahabatan antarabangsa.