Nottingham Forest: Juara Eropah Yang Mengaibkan Arsenal

Beberapa hari lepas, pasukan terhebat London iaitu Arsenal telah diaibkan oleh Nottingham Forest dengan jaringan 1 berbalas telur puyuh dalam perlawanan peringkat ketiga Piala FA.

Walaupun menurunkan nama-nama besar seperti Bernd Leno, Bukayo Saka dan Marti Odegaard, Arsenal masih lagi tidak mampu menahan amukan Nottingham Forest.

Advertisement

Bagi peminat biasa, perlawanan ini mungkin seumpama David vs Goliath ataupun sang buaya dibodohkan oleh sang kancil. Tapi untuk peminat bola sepak sebenar, Nottingham Forest berhak mendapatkan kemenangan tersebut. Hal ini demikian kerana suatu ketika dahulu Nottingham Forest pernah menjadi antara pasukan terhebat Eropah sama seperti Liverpool hari ini.

Buktinya, Nottingham Forest pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dua kali berturut pada musim 1977-1978 dan 1978-1979. Boleh dikatakan Nottingham Forest setaraf dengan Real Madrid, Benfica, Inter Milan, Ajax, Bayern Munich, Liverpool dan AC Milan kerana memenangi UCL dua kali berturut-turut. Pasukan Arsenal ado?

Walau bagaimanapun, itu adalah kisah 43 tahun yang lepas dan hari ini Nottingham Forest hanya sebuah pasukan biasa-biasa sahaja. Kali terakhir Nottingham Forest beraksi di EPL adalah pada musim 1998-1999 setelah berjaya menjadi juara EFL Championship.

Segalanya serba tidak menjadi kerana Nottingham Forest kembali menguni EFL Championship. Ditambah lagi, Nottingham Forest hanya menjadi pasukan yang layak diperkotak-katikkan di saingan EPL sehingga hanya mampu menghuni tangga terakhir pada musim pertama.

Selepas itu, Nottingham Forest sangat bergelut untuk kembali ke EPL dan terus menjadi penghuni tetapi EFL Championship. Paling teruk sekali, pasukan segemilang Nottingham Forest terpaksa beraksi League One yang berada pada hierarki ketiga bola sepak England setelah menduduki kedua terakhir EFL Championship.

Tiga musim di League One, Nottingham Forest akhirnya berjaya kembali ke EFL Championship dan terus memasang angan-angan mat jenin untuk ke EPL. Kedudukan terbaik Nottingham Forest dalam EFL Championship dari musim 2008-2009 sehingga ke hari ini adalah tempat ketiga sahaja.

Peluang untuk ke EPL ketika mendapat tempat ketiga masih ada biarpun perlu melalui perlawanan playoff. Macam biasa Nottingham Forest tewas dan terus terperosok ke lembah kehinaan (baca EFL Championship).

Semoga Nottingham Forest mampu mencapai EPL dan terus mengajar erti bola sepak sebenar dan aura juara Eropah kepada Arsenal.

Comments