Newcastle: Marhean Yang Bermimpi Di Siang Hari

Baru-baru, seisi Premier League digemparkan dengan berita bahawasanya Newcastle United bakal diambil alih oleh orang kaya daripada Arab Saudi.

Hal tersebut telah menyebabkan beberapa perkara berlaku seperti peningkatan jumlah peminat jadian Newcastle United terutamanya di Malaysia.

Advertisement

Situasi ini dihangatkan lagi beberapa dakwaan Newcastle akan membeli beberapa pemain bertaraf bintang seperti Kylian Mbappe seumpamanya.

Malahan, ramalan kesebelasan utama terbaik Newcastle United pasca-ambil alih telah pun tersedia walau belum jadi kenyataan. Antara pemain bintang yang dijangka bakal berada dalam kesebelasan utama Newcastle adalah seperti Kyle Walker, Jerome Boateng, Allan Saint-Maximin dan Moussa Dembele.

Bukan itu sahaja, Newcastle turut dikatakan berminat untuk mendapatkan pengurus pasukan yang baru. Antara yang berada dalam target mereka adalah bekas pengurus Juventus iaitu Massimiliano Allergi untuk gantikan pengurus sedia ada.

Jika semua ini mampu jadi kenyataan, Newcastle dijangka akan mencabar kejuaraan Premier League dan tidak keterlaluan juga boleh melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah. Mungkin kita boleh gelarkan Newcastle United sebagai “Manchester City” versi baru.

Walau bagaimanapun disebalik keterujaan mereka dan kita peminat bola sepak, ada berita sedih yang harus kita terima dengan seadanya. Dilaporkan bahawasanya, orang kaya raya Arab Saudi membatalkan hasrat untuk mengambil alih Newcastle United. Hal ini merupakan tamparan hebat selepas semua berimpian melihat Newcastle mencabar kejuaraan.

Orang kaya raya Arab Saudi yang diwakili oleh Amanda Stavely menarik diri daripada pengambilalihan tersebut kerana kerenah birokrasi dan kehadiran pandemik koronavirus.

Amanda Stavely juga menyatakan bahawa terdapat 10 kelab Premier League yang menentang pengambilalihan itu. Liverpool dan Tottenham Hostpur dikatakan sebagai dalang utama disebalik semua ini.

Perkara ini ternyata sangat menyedihkan penyokong Newcastle kerana mereka sudah berangan untuk menjadi pasukan hebat di masa hadapan. Kekayaan yang dimiliki oleh pemilik baru dikatakan mampu mengatasi kelab mewah seperti Manchester City dan PSG.

Namun begitu, nasi sudah jadi bubur dan hari ini, pemilik baru tetap akan dicari walau tidak sekaya seperti sebelum ini.

Kepada penyokong fanatik Newcastle di Malaysia, harap dapat bertabah dan terus setia menyokong pasukan. Mana tahu ada sinar disebalik terowong kan?

Oleh: Azmil Azali

Comments