Negeri Sembilan FC Setaraf Dengan Ulsan Hyundai

Malam semalam, kita telah menyaksikan pertembungan hangat antara juara Liga Perdana 2021 menentang juara Liga Super lapan kali berturut.

Sebelum perlawanan itu, ramai yang menjangka Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak miliki sebarang masalah untuk menundukkan pasukan Negeri Sembilan FC.

Advertisement

Ini kerana dalam saingan Asian Champions League, JDT mampu mengetepikan cabaran gergasi Korea dan Jepun untuk layak ke pusingan 16 terbaik. Jadi setakat Negeri Sembilan FC ini, pejam mata pun dah boleh menang.

Walau bagaimanapun lain pula yang terjadi apabila JDT seseolah buntu untuk menjaringkan gol sehinggalah Fernando Forestieri melakukannya pada minit akhir masa tambahan.

Maka senang cerita JDT sengaja menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan agar Negeri Sembilan FC tahu bahawa mereka setaraf dengan Ulsan Hyundai.

Dalam keasyikkan melihat kedua-dua JDT dan Negeri Sembilan berbalas serangan, terdapat beberapa isu yang dilihat masih lagi membelenggu pasukan Liga Super.

Paling ketara sekali adalah insiden melambat-lambatkan permainan. Penjaga gol Negeri Sembilan FC dikesan terlalu banyak memperagakan aksi-aksi lemah gemalai semata-mata mahu membuang masa. Malah dia tidak ketinggalan juga berborak kosong dengan dak milo untuk mengisi masa terluang.

Seperti intensiti perlawanan boleh terganggu hanya kerana perkara sia-sia tersebut. Tambah lagi, pemain-pemain bola sepak di Malaysia ini kelihatan sangat mudah untuk rebah. Adakah ini taktikal daripada jurulatih ataupun pemain kita sebenarnya tidak memiliki stamina yang tinggi untuk perlawanan berintensiti tinggi?

Sebenarnya, insiden melambat-lambatkan masa adalah salah daripada taktik dalam melawan pasukan gergasi. Bagi pasukan yang bermain dengan hantaran pendek dan pantas, pasti mereka menggemari taktik lambatkan masa sehingga buat mental rabak.

Selain itu terdapat juga beberapa taktik pelik yang digunakan hanya semata-mata mahu bersaing dengan pasukan lawan. Antaranya adalah dengan memanjangkan dan memendekkan rumput untuk menganggu kelancaran bola.

Malah ada kelab juga yang menjadikan padang umpama bendang sebagai kelebihan untuk menekan pasukan lawan. Perkara seumpama ini pernah terjadi ketika Lions XII beraksi di Liga Super.

Mana-mana pasukan yang berkunjung ke Singapura pasti akan dimomokkan dengan padang sintetik akan membuangkan mereka kalah. Jika kenyataan itu terus diulang hari demi hari, ia menjadi satu igauan buruk bagi pasukan. Akhirnya padang sintetik menjadi kelebihan utama Lions XII untuk bersaing.

Kesimpulannya gunalah taktik apa sekalipun untuk mengekang asakan lawan tetapi jika pasukan anda benak dalam menjaringkan gol, masih lagi tiada guna.

Apa-apapun tahniah kepada Negeri Sembilan FC kerana anda sebenarnya setaraf dengan Ulsan Hyundai.

Comments