Pemain naturalisasi, pemain warisan atau apa sahaja panggilan yang sesuai dengannya sudah sinonim dengan bola sepak antarabangsa.
Tiada siapa boleh lupa, Perancis berjaya memenangi trofi Piala Dunia dengan campuran pelbagai bangsa di dalam skuad tersebut.
Bahkan pemain yang betul-betul berdarah Perancis boleh dibilang dengan jari sahaja.
Kalau anda kenal Diego Costa pasti mengetahui bahawasanya beliau pernah bermain dengan negara kelahirannya Brazil sebelum mengambil keputusan untuk mewakili Sepanyol.
Dengan itu, penggunaan pemain naturalisasi bukan asing lagi memandangkan juara dunia turut gunakannya.
Di Asia Tenggara, Indonesia adalah negara yang sangat terkenal dengan penggunaan pemain naturalisasi. Cristian Gérard Alfaro Gonzáles adalah nama yang cukup ikonik buat bola sepak Indonesia.
Pemain berdarah Uruguay itu banyak membantu skuad kebangsaan Indonesia dalam pelbagai pertandingan.
Malahan beliau juga terlibat dengan perlawanan pertama kumpulan A Piala AFF Suzuki 2010 yang menyaksikan Indonesia berjaya membenam Malaysia 5-1.
Selepas sahaja habis era Gonzales, Indonesia telah membawa masuk begitu ramai pemain naturalisasi seperti Sergio van Dijk, Illija Spasojevic dan Beto Goncalves.
Namun kesemuanya kurang memberikan impak yang signifikan kepada skuad kebangsaan Indonesia.
Kemuncaknya kita boleh lihat apabila Jhon Van Beukering hanya berlari-lari anak sahaja ketika Indonesia tewas kepada Malaysia dalam saingan Piala AFF Suzuki 2012.
Ada yang menyatakan bahawasanya pemain naturalisasi sekadar menguntungkan kelab di sana kerana jurulatih boleh mengambil lebih ramai pemain import.
Bagaimana pula dengan Malaysia? Pada awalnya ramai yang agak pesimis dengan kehadiran pemain naturalisasi atau pemain warisan. Kita beranggapan pemain tempatan lagi berjiwa Malaysia dan sanggup bermain demi lencana di dada.
Namun kehadiran Brendan Gan, Matthew Davies dan Corbin-Ong terus membuang stigma tersebut.
Posisi bek kanan, bek kiri dan tengah bertahan yang sebelum ini sangat kritikal berjaya diselesaikan dengan kehadiran mereka.
Bahkan mereka adalah pemain kegemaran untuk kekal di posisi tersebut sehingga berjaya menenggelamkan Syahmi Safari, Nazirul Naim dan Akram Mahinan.
Mohamadou Sumareh sebagai pemain naturalisasi pertama yang tiada kaitan dengan negara ini dengan pantas terus memberikan impak.
Bahagian serangan Malaysia yang sebelum ini begitu suram, menjadi semakin tajam dengan kehadiran Sumareh.
Buktinya, Sumareh begitu membantu dalam saingan Piala AFF Suzuki serta kelayakan Piala Dunia 2022.
Jika ditanya antara naturalisasi Malaysia dan Indonesia manakah yang paling berjaya, sudah pastilah jawapannya adalah sangat kabur.
Ketika ini bagi kedua-dua Malaysia dan Indonesia, pemain warisan memang sangat membantu tetapi naturalisasi hanya satu beban dunia. Kepada Liridon Krasniqi dan De Paula anda apa khabar?
#iSportsAsia