Sebut nama Brentford, kelab ini mungkin tidaklah segah kelab-kelab besar berpangkalan di London seperti Arsenal dan Tottenham.
Namun kelab yang mendapat jolokan The Bees itu sentiasa memaksimumkan bakat pemain mereka terutama pemain muda sebelum dijual dengan keuntungan besar.
Ini adalah kisah gabungan Moneyball dan sentuhan kemanusiaan yang menjadi tunjang kejayaan kelab Liga Kejohanan itu.
Selalunya, kerja-kerja analisis dilakukan oleh kelab besar dan untuk menganalisis perlawanan.
Namun menerusi pendekatan Moneyball ini, pasukan pengambilan pemain akan meneliti semua data yang relevan bagi memastikan pemain dipilih sesuai dengan pasukan.
Jadi, usah terkejut kalau mereka merekrut pemain remaja kelab-kelab besar atau kelab liga bawahan tetapi berpotensi menjadi bintang masa depan.
Model ini menjadi resepi kejayaan kelab sejak ditadbir oleh pemilik Matthew Benham pada 2014.
Antara pemain yang diberi peluang menyerlah di Brentford sebelum disambar kelab lain ialah Neal Maupay (Brighton), James Tarkowski (Burnley) dan Ollie Watkins (Aston Villa).
Begitupun, kelab amat memilih siapa yang mahu direkrut. Mereka mahukan pemain yang mempunyai perwatakan sesuai dengan falsafah kelab.
Kelab bersedia mendapatkan pandangan semua termasuk melihat hantaran-hantaran yang diberi ke forum kelab.
Sebaik pemain disahkan berpindah sama ada secara tetap atau pinjaman, mereka akan dididik dan digalakkan meneroka potensi sebenar mereka sebagai pemain.
Bagi meningkatkan peluang kejayaan pemain, kelab turut melantik ketua pembangunan individu.
Tugasnya mudah tetapi spesifik iaitu menambahbaik kualiti pemain menerusi sesi latihan peribadi dan panduan secara dua hala.
Ramai pemain mengakui sebaik saja mereka berpindah ke kelab itu, mereka melihat kualiti permainan mereka ditambahbaik. Perkara ini bukan saja dilakukan di Brentford tetapi satu lagi kelab milik Benham iaitu FC Midtjylland di Denmark.
Selain pendekatan Moneyball, Bees turut mengubah pendekatan pasukan simpanan mereka.
Selepas memilih menutup pasukan akademi dan pasukan simpanan pada 2016, kelab memilih melaksanakan model pasukan B seperti yang dilakukan oleh kelab-kelab Sepanyol serta Jerman.
Begitupun, ramai tidak berpuas hati dengan tindakan Benham ketika itu yang disifatkan sebagai terburu-buru dan tidak diketahui sama ada ia berjaya atau tidak.
Namun menurut Benham, apa yang dilakukan ialah bertujuan memberi pendedahan terus kepada pemain agar bersedia dengan tuntutan permainan profesional dan meningkatkan peluang beraksi bersama pasukan utama.
Penutupan akademi Brentford turut didorong rasa tidak puas hati beliau selepas melihat dua pemain iaitu Ian Carlos-Poveda dan Josh Bohui disambar Manchester City serta Manchester United dengan pampasan yang diberi tidak seberapa.
Walaupun langkah ini dianggap kontroversi, ia dilihat berjaya melahirkan lebih ramai pemain untuk pasukan utama. Antara contoh pemain yang mendapat manfaat ini ialah Chris Mepham.
Mepham beraksi dalam pasukan B Brentford selama semusim sebelum diberi peluang menjadi tonggak pasukan utama.
Sejak itu, Mepham terpilih ke pasukan kebangsaan Wales dan membawa keuntungan berjumlah £15 juta (RM82.1 juta) selepas dijual kepada Bournemouth pada musim 2019-2020.
Namun ada satu perkara yang menghubungkan semua pihak di Brentford dari lembaga pengarah hingga pasukan utama ialah sentuhan kemanusiaan.
Semua orang dalam kelab dianggap seperti keluarga dan diberi peluang untuk menyerlah walaupun halangan menimpa sesetengah daripada mereka.
Contoh paling mudah, Josh Dasilva. Semasa menyertai Bees secara perpindahan percuma pada musim 2018-2019, dia ketika itu masih mengalami kecederaan.
Bagi sesetengah kelab, perkara sebegini sudah pasti membuatkan mereka berfikir semula sama ada mahu menandatanganinya atau tidak.
Walau bagaimanapun Brentford memilih memberi peluang kepadanya untuk kembali cergas dan menunjukkan keupayaannya bersama pasukan.
Ada pemain yang hampir-hampir dilupakan selepas dilepaskan tetapi diberi peluang kedua di Brentford Community Stadium.
Ada pula yang memerlukan sedikit masa dan kasih sayang untuk membantunya menyerlah.
Sergi Canos yang dahulunya beraksi bersama pasukan simpanan Liverpool kini dianggap pemain sayap terbaik Liga Kejohanan.
Manakala Marcus Forss yang beraksi di pasukan B sebelum menjaringkan tujuh gol musim ini kini menarik perhatian gergasi Jerman, Borussia Dortmund.
Menariknya, model pasukan B ini sudah mula menjadi trend beberapa kelab bola sepak Inggeris. Setahun selepas Brentford melakukannya, Huddersfield turut melakukan perkara sama pada 2017.
Model sama turut dibuat di Southampton pada awal musim ini dengan jadual latihan mereka sama dengan pasukan utama yang dibimbing Ralph Hassenhuttl itu.
Oleh: Moustapha Abbas
Sumber
Aloia, A. (2019). Brentford: Championship club’s B team taking on Europe and England’s elite. BBC.
Liew, J. (2021). Brentford’s focus on the human touch belies Moneyball reputation. The Guardian.