ALOR SETAR, 6 Dis (Bernama) — Kedah Darul Aman FC (KDA FC) hari ini mengumumkan Mohd Nafuzi Mohd Zain sebagai Ketua Jurulatih yang baharu selama dua tahun bermula musim 2023.
Pelantikan bekas pengendali Terengganu FC (TFC) itu diumumkan secara rasmi oleh pemilik majoriti KDA FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar pada majlis menandatangani kontrak pelantikan ketua jurulatih baharu di antara Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali dan Mohd Nafuzi.
Mohd Daud berkata beliau yakin Mohd Nafuzi dapat menggalas tanggungjawab mengendalikan pasukan KDA FC dengan baik berdasarkan pengalaman dan prestasinya yang cemerlang dalam membina pasukan bola sepak ‘dari kedudukan bawah ke tangga atas selain mempunyai trek rekod yang bagus.
“Kami beri sepenuh kepercayaan kepada dia untuk memilih barisan pemain serta mencari bakat-bakat baharu yang boleh diserap masuk ke dalam pasukan. Jadi, saya minta peminat KDA FC supaya beri masa kepada Mohd Nafuzi untuk membina dan membangunkan pasukan yang gah, disegani dan dihormati.
“Selain itu, saya juga ingin memaklumkan jumlah keseluruhan pemain untuk musim hadapan adalah seramai 25 orang dan nama-nama mereka hanya akan diumumkan nanti. Seramai 17 pemain bagi musim 2022 tidak ditawarkan kontrak baharu untuk musim hadapan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu Mohd Nafuzi, yang pernah bermain bersama pasukan Kedah pada tahun 2007 hingga 2009 berkata dia berterima kasih kepada pengurusan tertinggi KDA FC yang memberi kepercayaan dan peluang kepadanya untuk membimbing skuad Kedah sebagai ketua jurulatih.
“Bukan senang untuk mendapat peluang menerajui Kedah, selepas perbincangan bersama pengurusan KDA FC, saya memang tidak sabar dan teruja untuk berada di bumi Jelapang Padi ini dan saya berjanji akan memberi yang terbaik untuk kejayaan pasukan.
“Perancangan saya adalah untuk mengembangkan lagi bakat pemain anak jati Kedah itu sendiri kerana sedia maklum Kedah mempunyai barisan pemain lama dan baharu yang cukup bagus dan digeruni. Bagi barisan pemain untuk musim depan pula, saya akan membuat pemilihan dengan mengambil kira aspek penting bagi memastikan pasukan Kedah pada musim hadapan lebih mantap,” katanya.
Terdahulu, Mohd Daud menyaksikan majlis menandatangani kontrak ketua jurulatih KDA FC dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KDA FC yang diwakili Khamal Idris dan Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) yang diwakili Pengerusinya Muhammad Edi Soffi Ramli.
MoU yang ditandatangani bersama KAKB itu adalah bertujuan untuk menjalinkan kerjasama selama satu tahun dalam aspek perniagaan melalui strategi pemasaran yang akan menjana pendapatan dan menyumbang kepada pendanaan operasi KDA FC.
— BERNAMA