Mirnawan Nawawi Letak Harapan Tinggi Aksi Pembukaan FIH Odisha Hoki Piala Dunia Lelaki 2023 Menentang Belanda

Kehadiran lapan pemain daripada skuad Piala Dunia 2018 diharap mampu beri prestasi mantap - Mirnawan Nawawi

Pasukan kebangsaan di bawah ketua jurulatih A. Arulselvaraj bersiap sedia untuk perlawanan pembukaan FIH Odisha Hockey Lelaki Piala Dunia 2023 menentang juara dunia tiga kali Belanda pada hari Sabtu.

Skuad kebangsaan sebelum ini mengadakan perlawanan latihan tertutup menentang Sepanyol di Stadium Birsa Munda di Rourkela, pengurus pasukan Dato’ Mirnawan Nawawi menyatakan apa yang lebih penting walaupun menerima kekalahan 3-2 ialah semua pemain termasuk kedua-dua penjaga gol dalam skuad 25 pemain itu adalah merasai minit permainan dan para pemain kelihatan tenang dan bersedia untuk menghadapi tugasan.

“Kami menggunakan perlawanan menentang Sepanyol untuk menguji rancangan taktikal yang akan kami gunakan menentang Belanda dan Chile. Pemain kini kelihatan tenang dan banyak berkomunikasi mengenai taktikal. Kami akan meneliti dan melihat apa yang perlu diperbaiki, terutama untuk perlawanan menentang Belanda,” kata Dato’ Mirnawan.

Dengan kehadiran lapan pemain daripada skuad Piala Dunia 2018 yang tewas 7-0 pada perlawanan pembukaan menentang Belanda, termasuk penjaga gol ketika itu S. Kumar, yang kini menjadi jurulatih penjaga gol, Dato’ Mirnawan berkata terdapat keazaman dalam skuad itu untuk keluar dan mempamerkan prestasi yang mantap dan harapan tinggi agar keputusan sebegitu tidak akan berulang kali ini.

“Kami tahu kekuatan Belanda. Kami perlu memastikan bahawa kami kuat di kawasan pertahanan kami, terutamanya dalam D. Pemain perlu mengekalkan fokus dan disiplin mereka dalam struktur dan permainan taktikal mereka. Kami perlu kuat dalam penguasaan bola dan dalam situasi satu lawan satu. Di atas semua itu, kita mesti memastikan bahawa kita perlu mendapatkan sesuatu daripada setiap peluang yang kita cipta di sisi D lawan,” kata Dato’ Mirnawan.

Mengenai jangkaan menentang Belanda pada hari Sabtu, Dato’ Mirnawan berkata pasukan itu menyasarkan untuk bermula dengan prestasi yang kukuh walaupun terdapat banyak rintangan.

“Kami mahu bermula dengan persembahan yang mantap, yang penting akan memberi kami momentum untuk membawa kami ke perlawanan berikutnya menentang Chile dan New Zealand,” kata Dato’ Mirnawan.

Malaysia memasuki penampilan kesembilan mereka di Piala Dunia FIH di Pool C, di mana mereka menentang Belanda di Stadium Birsa Munda pada hari Sabtu dan kembali ke venue yang sama untuk menentang Chile dalam perlawanan kedua mereka pada Isnin. Mereka menamatkan pusingan awal dengan bertandang ke Bhubaneswar untuk menentang New Zealand di Stadium Kalinga Rabu depan.

Kali terakhir Malaysia mara melepasi pusingan awal pada Piala Dunia pada 2002, apabila kejohanan itu diadakan di Kuala Lumpur.

Comments

Advertisement