Merseyside Derby

Tidak ramai tahu 20 Februari 2021 merupakan ulangtahun ke-30 perlawanan epik setempat Merseyside membabitkan Liverpool dan Everton. Perlawanan ini merupakan perlawanan pusingan kelima Piala FA dengan kedua-dua pasukan terikat 4-4 pada akhir perlawanan.

Perlawanan ini berstatus legenda disebabkan oleh beberapa perkara. Pertama, kedua-dua pasukan saling menyerang dan enggan berputus asa apabila ketinggalan sehingga wisel penamat ditiup. Kedua, perlawanan ini juga merupakan perlawanan terakhir Dalglish sebagai pengurus Reds sebelum mengumumkan perletakan jawatan 24 jam kemudian.

Advertisement

Tatkala pengurus pihak lawan, Howard Kendall berusaha memotivasikan Toffees untuk terus mengasak, lain pula ceritanya dengan Dalglish. King Kenny kelihatan seperti tidak bersemangat, jarang memberi tunjuk ajar kepada pemain dan tidak membuat pertukaran pemain sepanjang 120 minit perlawanan. Beliau dalam satu temubual mengakui kegagalannya membuat pertukaran pemain pada minit akhir perlawanan mengakibatkan Reds terpaksa menggigit jari.

Kehilangan semangat King Kenny ketika menguruskan Liverpool didorong oleh satu faktor: Hillsborough. Selepas tragedi itu, beliau diibaratkan seperti kaunselor yang berusaha meredakan kesedihan penyokong. Ini ditambah keperluan membina semula pasukan berikutan pemergian beberapa pemain senior dilihat menambah lagi tekanan kepadanya. Atas sebab itulah, Dalglish meletak jawatan dan jawatan tersebut dipangku secara sementara oleh pembantunya, Ronnie Moran.

Tiga hari selepas perlawanan, kedua-dua musuh setempat Merseyside bertembung semula dengan Everton menang dengan keputusan 1-0. Bagaimanapun, kemaraan mereka ke peringkat seterusnya digagalkan oleh West Ham. Tempat Dalglish digantikan oleh legenda Graeme Souness dengan Reds muncul naib juara pada akhir musim di belakang Arsenal.

Perlawanan ini juga dilihat sebagai penanda perubahan era. Era dominasi Liverpool dan Everton ketika itu digantikan oleh Manchester United yang mendominasi liga pada tahun 90-an. Sementara Liverpool kempunan kejuaraan liga selama lebih tiga dekad sebelum kemarau itu ditamatkan oleh Jurgen Klopp pada musim 2019-2020.

#iSportsAsia

 

Comments