Penganjuran Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) buat julung kalinya telah menyaksikan sebuah hal yang sangat unik telah terjadi.
Biarpun disertai oleh ramai atlet kayak bertaraf antarabangsa, Mansor Omar ataupun lebih dikenali sebagai Pak Mansor mendapat perhatian. Ini kerana Pak Mansor merupakan atlet kayak tertua yang menyertai POPIC 2020.
Beraksi dalam kategori Open International Single Ocean Race SS1 – Man menyaksikan Pak Mansor perlu bersaing dengan peserta antarabangsa. Keputusan menyaksikan Pak Mansor menduduki tempat terakhir dengan catatan masa 1 jam 58 minit.
Namun bukan itu kita mahu bicarakan kerana apa yang dilakukan oleh Pak Mansor belum tentu dapat kita laksanakan. Dengan umur mencecah 75 tahun, Pak Mansor berjaya menamatkan pertandingan.
Bukan itu sahaja, Pak Mansur juga merupakan pemegang Malaysia Book Of Records sebagai Pendayung Kayak Solo Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia.
Rekod itu dibikin pada tahun 2017 bersempena 60 tahun kemerdekaan negara dan Tahun Melawat Terengganu 2017.
Untuk merealisasikan rekod ini, Pak Mansor perlu menempuhi jarak sebanyak 1700 km dari Kemaman, Terengganu ke Pengkalan Jeti Kuala Perlis, Perlis dalam tempoh lebih kurang 60 hari.
Walaupun dilanda pelbagai halangan seperti hujan lebat sehingga memaksa dirinya mendarat, Pak Mansor terus bertekad sehingga mampu menamatkan dayungan kayak solo.
Lebih mengkagumkan lagi, rekod itu dibikin ketika Pak Mansor berumur 70 tahun. Kali ini pula, Pak Mansor masih lagi aktif dengan menyertai POPIC 2022 untuk bersaing dengan atlet antarabangsa ketika umur mencecah 75 tahun.
Bagi orang biasa seperti kita, umur sebegitu adalah masa untuk berehat dan bermain dengan cucu. Tetapi lain pula dengan Pak Mansor kerana beliau masih lagi berkayak dengan berlatih pada hari-hari tertentu.
Apa-apapun, kemampuan Pak Mansor bukanlah kaleng-kaleng jika dilihat daripada umur. Namun umur adalah sekadar angka sahaja. Tekad dan semangat yang kuat bakal membuatkan kita mampu mengharungi cabaran biarpun banyak halangan.
Kepada orang muda diluar sana, jadikan Pak Mansor sebagai semangat. Jika beliau yang berumur 75 tahu masih lagi mampu berkayak dengan aktif, tak kan lah kita baru naik tangga sikit dah mengah.